Dinsman
Keriuhan satu negara akibat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan majalah mingguan Katholik, Herald, menggunakan nama Allah untuk Tuhan bagi orang Kristian itu, turut melimpah hingga ke dalam telefon tangan saya. Biasanya saya menerima SMS kerana orang memberi respons kepada tulisan Wacana Budaya. Tetapi kali ini lain. Respons kepada keputusan mahkamah pun di-SMS kepada saya.
Banyak juga yang marah-marah. Ada yang marah kepada keputusan itu dan ada yang marah mengatakan itu semua permainan Umno/BN. Beberapa orang meminta saya mengulasnya.
Saya kurang berminat. Selalunya saya memilih untuk membincangkan isu atau perkara yang lebih dekat dengan kita, yang bukan sekadar kita berbincang kosong tetapi yang kita perlu dan boleh tangani sendiri, bukan sekadar mengharapkan orang lain menanganinya.
Isu sebuah mingguan Kristian diberi kemenangan boleh menggunakan kalimah Allah itu saya fikir lebih baiklah saya tak usah bincang. Sudah ramai orang membincangkannya. Cukuplah! Banyak lagi isu lain yang lebih besar dan mustahak untuk kita tangani, demi kesejahteraan umat Islam. Lagipun, sekadar berbincang saja…
Itu fikir saya pada mulanya. Tetapi bila saya terus membaca SMS-SMS yang dihantar, saya tertarik melihat pemikiran sebahagian besar daripada mereka. Misalnya yang ini, dihantar oleh seorang yang memperkenalkan diri sebagai AJK PAS cawangan Beserah, Kuantan. Katanya: “Sama-sama kita berharap pemimpin PAS tidak terperangkap dalam isu kalimah Allah. Umno cuba mengalihkan isu sahaja!”
Pada hari yang sama juga, Sabtu 3 Jan, 6.12 ptg, seorang yang tanpa memberikan nama berpesan: “Bagi tahu kepada semua ahli PAS serta pemimpin, jangan masuk campur urusan perihal nama Allah dalam tuntutan Herald. Biar Umno saja yang memperjuangkannya. Ini adalah perangkap untuk parti PAS.”
Sahabat dari Jalan Kent KL pula berkata, “Aku dah cakap the issue being cultivated by Umno sendiri. Gerakan Islam kena cerdik sekarang. Nampaknya ada nak jadi hero. Akhirnya isu penyelewengan dan kezaliman UMBN terpinggir. Rakyat terutama penyokong PR akan ‘tipah tertipu lagi’”.
Satu SMS lagi, hari yang sama, 8.34 mlm: “Betapa bodohnya orang Umno. Orang guna nama Allah, yang mereka marah sangat tu kenapa? Yang PM mereka tolak Hukum Allah tu mereka tak marah pula. ‘Kankah pelik tu! Penipu marah orang lain menipu. Itulah Umno.”
Hj Mazlan dari Segamat pula mengulas: “Dulu bila penyokong PAS bertakbir dengan kalimah ‘Allahu Akbar’, pemimpin Umno dan ramai pengikutnya membalas dengan sindiran atau luahan kata ‘booo’… Kenapa nak lalut sasau bila mahkamah buat keputusan tak terduga? Bukankah Umno dah terlebih banyak atau terkedepan menghina kalimah suci itu?”
Mat Salleh dari Baling, Kedah, berkata rengkas saja: “Umno duk kalut kalimah Allah. Yang mereka duk hina Hukum Allah, tak sedar.”
Dan yang ini nakal sedikit. “Cukup senang,” katanya. “Kalau orang bukan Islam nak guna nama Allah, gunalah; tapi kenalah ikut al-Quran dan Hadisnya, dan laksanakan apa yang Allah perintah. Itu saja. Sama juga orang Umno pun tak boleh guna nama Allah juga, sebab mereka pun tak ikut al-Quran. Yang mereka sibuk sangat tu apasal?”
Ya, menarik ‘kan? Pemikiran-pemikiran yang disampaikan melalui SMS-SMS itu. Memang menarik! Saya suka dengan cara mereka berfikir macam itu. Maka saya salinkannya supaya para pembaca sekalian juga dapat menatapnya.
Saya suka bukan sebab apa, sebab pembaca-pembaca Wacana Budaya tidak lagi cepat melatah marahkan orang menghina nama Allah, seperti kita pernah melatah marahkan orang menghina Rasulullah apabila dia melukis karikatur yang kononnya karikatur Rasulullah, tak lama dulu.
Kita tidak lagi kehilangan fokus seperti itu. Menunjukkan emosi marah yang membuak-buak hingga sanggup bertumpah darah dan sebagainya; sedangkan di kalangan kita sendiri pun masih terlalu banyak yang menghina hukum Allah, dan lebih mengutamakan hukum yang dibuat oleh manusia. Saban hari kita melihat orang mempersendakan hukum Allah…
Baguslah, kita berfikir rasional dan waras. Kalau saya buat ulasan sendiri pun barangkali lebih kurang begitulah juga isinya
Sewaktu selesai pementasan teater MKDT di Stadium Kajang, 2 Januari lalu misalnya, ada dua pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) menemui saya bertanyakan hal teater, dan selepas itu mereka pun turut bertanyakan isu itu. Saya jawab, di zaman Jahiliyah sebelum Islam dulu pun orang Arab yang bukan Islam itu menggunakan kalimah Allah juga untuk Tuhan mereka yang bukan patung berhala.
Jadi, kenapa kita nak sempitkan fikiran, hingga musuh-musuh boleh mengambil kesempatan untuk mempermain-mainkan kita dan mengalihkan tumpuan fikiran kita daripada perkara yang lebih penting dan mustahak. Ada banyak lagi perkara lain yang lebih penting dan lebih mustahak daripada isu itu.
Misalnya ada seorang pemimpin pelajar yang rapat dengan gerakan kebudayaan kami, mengajak kami menyertai aktiviti-aktiviti yang bersangkutan dengan membantah perkara tersebut. Lalu sahabat saya Al-Qosim memberikan pendapatnya kepada pemimpin pelajar itu, begini:
“Pada pandangan saya kita perlu berhati-hati dan waspada. Dengan segala jentera yang digunakan sepenuhnya sekarang (termasuk mahkamah), kita perlu fikir sejuta kali, malah berjuta-juta kali agar kita tidak terperangkap. Mereka telah hilang segala kepercayaan rakyat. Isu ini diharapkan dapat membantu mereka. Apakah kita boleh percaya dengan semua pahlawan agama yang tiba-tiba menjerit-jerit bahawa Allah hak kita di Malaysia? Saya sangat sangsi.
“Bagi saya yang lebih utama ialah memperkasakan pelbagai institusi agama (maka dengan itu kita benar-benar dapat kenali Allah) supaya wajah sebenar Islam terserlah. Contoh: masjid jangan lengang. Kes nikah-kahwin beres dengan mudah. Mayat tak perlu direbut-rebut. Harta dan khazanah wakaf diurus tiptop. Bagi saya itu isu yang lebih besar. Tak mustahil semua ini direkabentuk untuk dijadikan modal politik. Tengoklah bagaimana media tv mereka membakar dan memanaskan isu ini.”
Seperti saya sebut di awal tadi, memang ada beberapa SMS yang bernada emosional dan marah-marah. Tak perlulah diperpanjangkan SMS yang seperti itu, ‘kan!
(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan