Apakah perbalahan politik Perak akan berlarutan selepas keputusan mahkamah?

KUALA LUMPUR, Feb 8: Ketika para pemerhati di kedua-dua pihak menunggu-nunggu dengan penuh debaran keputusan mengenai siapa Menteri Besar Perak yang sah esok, persoalan terus berlegar sama ada kedua-dua pihak akan menerima keputusan dan membolehkan isu berakhir.

Perak terjebak dalam situasi politik tidak menentu, dengan Datuk Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin masing-masing mendakwa sebagai menteri besar yang sah.

Penganalisis politik berpendapat, tidak kira apa jua keputusan, perbalahan yang berlaku antara kerajaan negeri sekarang di bawah Barisan Nasional (BN) dengan gabungan PAS-DAP-PKR dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR) akan berterusan, setidak-tidaknya hingga pilihan raya akan datang.

“Jika Zambry diisytiharkan sebagai MB yang sah, apapun PR akan terus tidak puashati. Ia akan mempersoal kebebasan badan kehakiman manakala pada waktu yang sama meuar-uarkan BN sebagai kerajaan sementara,” kata penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian.

Tetapi jika Nizar diisytiharkan menteri besar yang sah, beliau berkata ahli politik PAS itu mungkin memohon mandat baru tetapi ini akan bergantung pada sama ada dewan negeri boleh dibubarkan atau tidak.

Keputusan Mahkamah Persektuan tidak mungkin memuaskan hati sesiapa. Jika keputusan tidak memihak kepada Nizar, Pembangkang akan terus mempersoalkan kesahihan kerajaan negeri BN.

“Jika Zambry menang, beliau mempunyai kira-kira dua tahun untuk membuktikan bahawa kerajaannya adalah kerajaan sah. Apakah Pembangkang akan menerima hal itu pada sidang dewan akan datang atau akan terus mencetuskan kacau bilau?.

Perak akan terus berada dalam situasi tidak menentu kecuali kedua-dua pihak bertolak ansur selepas keputusan mahkamah,” kata Sivamurugan, dan menegaskan kedua-dua pihak perlu memahami bahawa tidak wajar dibiarkan dilema ini berlanjutan.

“Jika Zambry menang, beliau mungkin mempertimbang untuk berbaik-baik. Jika Nizar kalah, apakah beliau dapat menerima kerajaan negeri yang sah sehingga pilihan raya akan datang?” soal Sivamurugan.

Menurut hasil tinjauan yang disiarkan oleh Merdeka Center, sebuah firma tinjauan pendapat, Jumaat lepas, ulangtahun pertama BN memerintah Perak selepas pilihan raya umum 2008, 46 peratus daripada mereka yang ditinjau pendapat menyokong Nizar sementara Zambry berada di belakang dengan 44 peratus.

Nizar mempunyai kelebihan signifikan daripada Zambry bila melibatkan masyarakat Cina (59 peratus untuk Nizar lawan 16 peratus untuk Zambry) tetapi Zambry mendahului pertandingan bila melibatkan sokongan Melayu, dengan mendapat 67 peratus berbanding Nizar 35 peratus.

Anggota exco negeri Perak Dr Mah Hang Soon berkata BN sedar sokongan daripada rakyat masih begitu berbelah bagi.

“Tetapi keadaan bertambah baik untuk kami, rakyat tidak menaruh sikap terlalu bermusuhan seperti dulu. Kami percaya jika kami terus bekerja keras dan membuktikan rancangan ekonomi kami, mereka akan menyokong kami... buktikan kami adalah kerajaan yang lebih baik,” katanya.

Bagi Pembangkang, ia masih menganggap penyelesaian muktamad terhadap kebuntuan ini ialah menerusi pilihan raya baru.

“Tidak ada apa yang akan berubah kecuali diadakan pilihan raya baru. Saya tidak nampak mana-mana jalan lain. Apa juga keputusan mahkamah, ia tidak akan mengubah sentimen rakyat,” kata pakar strategi DAP dan MP Bukit Bendera, Liew Chin Tong.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan