All England: Chong Wei juara

KUALA LUMPUR, 14 Mac: Datuk Lee Chong Wei akhirnya menjuarai Kejohanan Badminton All England buat kali pertama dalam kariernya selepas mengalahkan pemain Jepun Kenichi Tago di National Indoor Arena, Birmingham semalam.

Apa yang lebih istimewa ialah, anak didik Datuk Misbun Sidek itu menjadi juara All England pada ulang tahun kejohanan tersebut yang ke-100.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang pernah melangkah ke perlawanan akhir All England tahun lalu, namun impiannya untuk merangkul gelaran juara ketika itu dihalang pemain China Lin Dan.

Chong Wei yang ketinggalan 0-4 pada awal permainan tidak berputus asa dan terus mengasak Tago untuk menang set pertama 21-19.

Pada set kedua, Tago, yang beraksi cemerlang, memaksa Chong Wei bekerja keras sebelum pemain nombor satu dunia itu dapat menundukkan lawannya dan memenangi perlawanan 21-19.

Walaupun hanya menjadi naib juara, pencapaian Tago boleh dibanggakan memandangkan beliau telah berjaya menundukkan pemain pilihan seperti Bao Chunlai dan Chen Jin dari China untuk mara ke perlawanan akhir.

Terdahulu itu, pemain wanita nombor 10 dunia, Tine Rassmussen dari Denmark melakukan kejutan apabila menewaskan juara bertahan Wang Yihan dari China pada perlawanan akhir untuk merangkul gelaran wanita perseorangan.

Rassmussen menundukkan pemain nombor satu dunia itu dengan keputusan 21-14, 18-21, 21-19 pada perlawanan sejam itu.

Dalam perlawan akhir acara beregu campuran, gandingan China, Zhang Nan dan Zhao Yunlei menewaskan pasangan nombor dua dunia Nova Widianto-Liliyana Natsir dari Indonesia 21-18, 23-25, 21-18.

-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan