Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 29 April: Pemuda Pakatan Rakyat mencabar pemuda Umno/BN dan juga badan pro-Melayu menyatakan pendirian mereka berhubung kes remaja mati ditembak polis 26 April lalu.
"Kita menggesa pemuda Umno-BN dan juga badan-badan pro-Melayu seperti Perkasa menyatakan ketetapan mereka mengenai kezaliman yang menimpa Allahyarham Aminulrasyid ini.
“Apakah mereka turut menentang atau bersetuju dengan pembunuhan allahyarham itu," kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam satu kenyataan.
Selain itu, mereka yang terdiri AMK, Dewan Pemuda PAS (DPP) dan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) akan mengemukan kes tersebut ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) jam 2.30 petang, 3 Mei ini.
Ianya bagi memohon perhatian pihak Suhakam menyiasat dan meneliti berhubung tingkah laku polis yang bertindak menembak seorang remaja bawah umur sehingga menyebabkan kematian.
"Insiden ini berlaku dalam keadaan kes yang melibatkan Norizan Salleh dan Allahyarham Tawfiq Noorzan masih gagal diselesaikan oleh pihak PDRM dan Kementerian Dalam Negeri. Adalah sesuatu yang sangat malang sekiranya kes salah laku polis juga disiasat oleh polis," katanya lagi.
Dalam kejadian pagi 26 April lalu, seorang pelajar berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah meninggal dunia akibat terkena tembakan polis di kepalanya ketika memandu kereta keluarganya di Shah Alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan