Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 29 April: Rakyat mesti bersuara bersama-sama menuntut pelaksanaan syor-syor dalam cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi mengurangkan pembunuhan kejam dan pemangsaan rakyat yang tidak dibuktikan bersalah, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar).
Mengulas insiden remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh polis di Seksyen 11, Shah Alam, Isnin lalu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menyifatkan kerajaan sengaja tidak mahu menubuhkan suruhanjaya sedemikian dengan sikap yang ditunjukkannya sekarang.
"Bayangkan, penubuhan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguat Kuasa yang jauh lebih lemah dari IPCMC telah diluluskan oleh Parlimen dan akta mengenai penubuhannya diwartakan pertengahan tahun lalu, tetapi kerajaan amat jelas kelihatan enggan menubuhkannya.
"Sebab itulah, rakyat tidak ada pilihan dan mesti bersuara serentak dan bersama-sama supaya kerajaan melaksanakan syor-syor dalam cadangan penubuhan IPCMC tidak kiralah sama ada dilaksanakan melalui Suruhanjaya Integriti Agensi Penguat Kuasa atau apa jua cara sekalipun," tegas beliau.
Salahuddin menyifatkan pembunuhan Aminulrasyid sebagai akibat dari tindakan menolak penubuhan IPCMC selain latihan polis yang diyakini tidak memadai, sikap sambil lewa dan meletak undang-undang di tangan sendiri.
Sehubungan itu, beliau juga meminta polis mengkaji semula tempoh dan bentuk latihan pelatih polis sebelum ditugaskan ke lapangan.
Salahuddin berkata, tempoh kursus dan latihan seseorang pelatih polis yang dipendekkan kepada tiga bulan tidak dilihat mencukupi untuk melatih anggota polis yang berwibawa, cekap dan bertindak mengikut peraturan.
"Tindakan mempercepatkan tempoh latihan pelatih polis kononnya untuk diselaraskan dengan usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong agenda utama kerajaan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) adalah membimbangkan memandangkan anggota-anggota yang terlibat mengganasi orang awam sebelum ini mungkin dilatih selama enam bulan sebelum keputusan memendekkan tempoh latihan kepada tiga bulan.
"Dilatih enam bulan pun pelbagai perkara yang menimbulkan kemarahan rakyat terjadi, jika dipendekkan kepada tiga bulan tentulah lebih mengerikan lagi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan