Asri nafi tubuh parti politik, tanding pilihan raya

G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 5 April: Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar), yang menghadiri perasmian mesyuarat agung tahunan Perkasa dua minggu lalu, hari ini menafikan yang beliau akan menubuhkan parti politik baru ataupun menyertai pilihan raya.

“Sehingga kini saya belum berminat untuk itu,” kata beliau dalam kenyataan yang dimuatkan di blognya hari ini.

“Adapun kehadiran pada majlis (mesyuarat agung tahunan) Perkasa itu (pada 27 Mac lalu) telah dijelaskan kepada pemberita.

“Saya hadir untuk mendengar ucapan (bekas perdana menteri) Tun Mahathir (Mahathir) bukan sebagai ahli Perkasa. Kebetulan pula semasa itu ada program saya di pesta buku PWTC,” katanya.

Sejak pertengahan tahun lalu Asri disebut-sebut akan menyertai parti politik tetapi telah dinafikan banyak kali.

Laporan Harakah Daily hari ini menyebut Asri sedang berusaha untuk menubuhkan parti politiknya sendiri bagi membolehkan beliau dan rakan-rakannya menyertai pilihan raya.

Menurut sumber, untuk mempercepatkan proses itu, beliau dilaporkan berusaha untuk mengambil alih parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) namun ditolak oleh para pemimpin mereka.

Akim ditubuhkan pada tahun 1995 ekoran tindakan PAS terhadap ketuanya, Musa Salleh.

Dalam pilihan raya umum 1999, Akim bertanding dua kerusi parlimen iaitu Kota Baru dan Pasir Puteh namun kalah kedua-duanya. Presidennya, Hanafi Mamat menyertai pilihan raya kecil Permatang Pauh namun hanya mendapat 92 undi sahaja.

Menurut sumber, ekoran kegagalan untuk mendapatkan persetujuan mengambil alih Akim, Asri sedang berusaha untuk mendaftar sebuah parti politik baru.

Asri juga menafikan laporan kononnya tulisan terakhir beliau “Ulama Dimuliakan atau Disucikan” mempunyai unsur wahabi.

“Sila tunjukkan ayat mana yang berunsur wahabi? Wahabi itu pengikut Muhammad Abdul Wahhab dan saya tidak berminat dengan karya-karya beliau.

“Saya banyak membaca Ibn Taimiyyah, Ibn Qaiyyim, Ibn Hajar al-Asqalani dan al-Qaradawi,” katanya.

Asri menambah, “dalam dunia ini kita patut jauhi segala bentuk ekstrimis termasuk yang pro-Muhammad Abdul Wahhab atau penentangnya jika keluar dari batas kesederhanaan.

“Artikel “Ulama Dimuliakan atau Disucikan” itu ditulis ketika ada pihak cuba menggunakan tokoh agama untuk kepentingan politik mereka,” katanya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan