'Pilih calon Umno atau sokongan terjejas'

Umno Hulu Selangor masih berharap Datuk Seri Najib Razak mempertimbangkan dengan serius tuntutan mereka - yang mahukan kerusi parlimen tersebut ditandingi Umno - supaya sokongan rakyat terhadap BN tidak terjejas.

Naib ketua bahagiannya Datuk Adnan Buyong berkata, tuntutan yang dibuat mereka melalui satu
memorandum pada 30 Mac lalu bukan mewakili hasrat mereka sahaja, tetapi kehendak rakyat Hulu Selangor secara keseluruhannya.

“Sampai sekarang di kedai-kedai kopi, orang bercakap hendak calon Melayu,” katanya ketika diminta mengulas tindakan lanjut mereka bagi memastikan kerusi parlimen tersebut dikembalikan ke pangkuan Umno.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, “berkemungkinan besar” calon BN di Hulu Selangor dipilih daripada MIC.

Kenyataan itu dilihat hampir mengesahkan pemilihan timbalan presiden MIC G Palanivel (kiri) yang akan berdepan sekali lagi dengan calon PKR dalam pilihan raya kecil pada 25 Mac ini.

Ketika dihubungi
Malaysiakinihari ini, Adnan berkata, beliau sendiri berani memberikan jaminan, ahli Umno akan tetapi setia bersama-sama parti walau siapa pun yang diumumkan terpilih mewakili BN pada 15 April ini.

Bagaimanapun, tambah Adnan, mereka hanya mewakili sebahagian kecil penduduk berbanding dengan jumlah pengundi Hulu Selangor keseluruhannya.

'Rakyat didahulukan, pencapaiannya tengoklah nanti'

“Kita akan terima siapa sahaja yang diputuskan parti, tetapi ahli parti hanya mewakili 20 peratus daripada pengundi. Pengundi di sini lebih 63,000.

“Mereka ini, kita tidak tahu (bagaimana sokongannya). Kita (sebagai) orang Umno OK,” katanya.

Ditanya adakan Umno akan hanya akur dan berdiam diri ekoran perkembangan terbaru itu, Adnan menjawab:

“Kita sudah buat semua perkara. Sekarang kita berdoa sahajalah. Tetapi kita tidak putus harap supaya permintaan kita diterima.

“Apa boleh buat, yang buat keputusan bukan kita. Kalau saya yang buat keputusan, senang,” katanya sambil ketawa kecil.

Menurut Adnan lagi, walaupun keputusan berhubung calon yang dipilih masih belum diketahui, berdasarkan kenyataan Najib, kemungkinan besar MIC akan bertanding sekali lagi di kerusi parlimen tersebut.

Dengan nada perlahan dan kecewa, Adnan sempat berseloroh, tetapi sinis:

“Saya pun tidak berapa faham dengan (konsep) 1Malaysia ini. Rakyat didahulukan, pencapaiannya (di Hulu Selangor) kita tengoklah nanti.”
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan