Subky Latif
TAN Sri Khir Johari baru menamatkan kontrak sebagai Duta Besar Malaysia di Amerika dan Wakil Tetapi di Pertubuhan Bangsa-Bersatu di New York. Sepulangnya ke Kuala Lumpur langsung dia tidak mengunjungi Perdana Menteri Tun Hussein Onn yang baru saja menggantikan Tun Abdul Razak.
PM Hussein baru saja menamakan Dr. Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Khir meminta saya menjadi pengarang kepada harian Watan yang kami sama-sama asaskan. Dia mahu akhbar itu mengamalkan kebebasan, tidak seperti akhbar-akhbar perdana ketika itu yang semuanya terikat dengan selera pemimpin kerajaan.
Saya laksanakan hasratnya mengikut tafsiran saya. Dia tidak menyatakan bentuk kebebasan yang dikehendakinya tetapi suka dengan tulisan bebas saya masa itu.
Satu hari Hamid Mohamad datang ke pejabat saya di Watan. Hamid adalah pegawai kanan mahkamah yang menjadi pembantu khas kepada Tun Sufian Hashim, Ketua Hakim Negara masa itu. Hamid kemudiannya menjadi Tun Abdul Hamid, Ketua Hakim Negara yang baru bersara dan bertanggungjawab membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara Sungai Buluh.
Hamid datang membawa salam Tun Sufian minta saya bercakap tentang kebebasan akhbar dalam persidangan tahunan undang-undang bagi negara-negara Asia Tenggara. Majlis Peguam Malaysia menjadi tuan rumah dalam mesyuarat di Kuala Lumpur tahun itu. Para hakim dan peguam-peguam kanan di Asia Tenggara datang.
Saya teragak-agak untuk menerimanya. Pertama status saya sebagai wartawan belumlah mantap sangat. Ramai lagi wartawan kanan dari akhbar-kahbar perdana yang sudah established dan mereka ada yang menjadi Tan Sri dan Datuk.
Minta sajalah mereka, cadangan balas saya pada Hamid. Tapi Hamid kata, "Tun Sufian mahu kamu." Tuan Sufian kata padanya, wartawan lain tidak akan cakap apa yang dikehendakinya.
Kata Hamid lagi, "Tun Sufian kata, kamu akan cakap apa yang peguam-peguam hendak dengar."
Hendak memuaskan hati hakim-hakim dan peguam bukanlah senang. Hamid meyakinkan saya Tun Sufian yakin saya boleh menyampaikan sesuatu.
Saya kata kepada Hamid keupayaan saya bertutur dalam bahasa Inggeris adalah terhad apa lagi bercakap di hadapan para hakim yang semuanya menguasai bahasa Inggeris.
Mungkin Hamid hendak meyakinkan saya. Katanya, "Hakim pun bukan baik sangat Inggerisnya. Tak usah takutlah!"
Saya pun setuju.
Saya sediakan satu kertas pendek. Ina, anak gadis Khir Johari membantu saya menyedapkan bahasa Inggerisnya. Saya bercadang untuk membacanya.
Ketua Majlis Peguam masa itu ialah Datuk Abdullah, adik Tun Dr. Ismail Abdul Rahman. Dia mempersilakan saya ke pentas dan memperkenalkan kepada hadirin.
Memang menggerunkan bercakap di hadapan hakim-hakim. Biasanya mereka orang yang tidak banyak cakap, dan cakap mereka adalah menjatuhkan hukum. Mereka memerintahkan orang dipenjara, didenda malah menjatuhkan hukum bunuh sampai mati.
Kalau hujah para peguam pun belum tentu dapat meyakinkan mereka, maka bagaimana saya hendak meyakinkan mereka tentang apa yang saya hendak cakap.
Terfikir saya, Tun Sufian mungkin telah silap membuat keputusan minta saya bercakap tentang perkara itu.
Hari itu saya di atas bersama seorang rakan Cina yang pernah menjadi pemberita bersama saya tetapi masa itu dia sudah menjadi peguam.
Di bawah sebelah kanan semuanya hakim-hakim yang selalu namanya saya baca dalam akhbar. Di baris depan sekali Tun Sufian. Di sebelahnya Hakim Raja Azlan Shah yang kemudiannya menggantikan Tun Sufian sebagai Ketua Hakim Negara dan selepas itu menjadi Sultan Perak.
Saya tengok juga Hakim Abdul Hamid Omar yang saya pernah kenal dia ketika menjadi Penasihat Undang-Undang di Pulau Pinang. Dia menjadi ketua Hakim Negara yang kontroversi kerana menggantikan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas yang kena tribunal.
Saya juga nampak Hakim Haron Hashim yang sebelumnya banyak menangkap orang-orang yang dituduh rasuah semasa dia menjadi pengarah BPR.
Para hakim dan peguam itu dipercayai mengetahui maksud dan apa yang dikatakan kebebasan berakhbar itu apatah lagi ramai dari mereka yang belajar di England yang menyaksikan amalan kebebasan itu.
Mengapa mereka membincangkan topik itu dalam sidang tahunannya, mungkin mereka merasa perlu menyedarkan masyarakat di negara masing-masing betapa mereka mesti keluar dari kongkongan dan belenggu penindasan kebebasan bersuara.
Kongkongan itu menyekat pembaca dari memdapatkan sebanyak maklumat dan keadaan itu menjadikan manusia seperti katak di bawah tempurung. Banyak untungnya bila kita dapat keluar dari dunia katak di bawah tempurung itu.
Saya buang kertas yang disediakan. Lebih baik bercakap tanpa kertas. Saya atasi kebimbangan tidak fasih berbahasa Inggeris dengan menyebutkan kalau mereka memahami bahasa Tarzan di Afrika yang tidak pernah bersekolah, tetapi tentu mereka akan dapat memahami bahasa Inggeris yang saya pelajari di sekolah.
Saya dapati mereka tertarik dengan mukaddimah saya itu dan ia memudahkan saya berbicara atas sabjek yang ditentukan. Saya tidak banyak ingat apa yang saya sebut hari itu tetapi saya ingat saya sebutkan tentang Firaun tidak memberi kebebasan bersuara sebab ia tidak diminta oleh rakyatnya. Raja England purba tentu tidak rela memberi kebebasan tetapi terpaksa memberinya kerana ia dituntut oleh rakyatnya.
Bodohlah PM Hussein Onn dan Timbalannya Dr. Mahathir memberi apa yang tidak dituntut oleh rakyat Malaysia. Adakah kita semua termasuk hakim dan peguam sudah membuat tuntutan?
Seorang peguam, Razak Ahmad dari Johor Bahru bertanya tentang kenyataan Dr. Mahathir berhubung kebebasan itu. Jawab saya, Dr. Mahathir mungkin seorang bertanggungjawab, tetapi bukunya diharamkan. Saya mungkin seorang penulis yang nakal tetapi tiada buku saya yang diharamkan.
Hakim dan peguam itu antaranya menyebut kepada saya mereka suka dengan jawapan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan