Yang Buta Datang Berpimpin, Yang Capik Datang Bertongkat.

Azizi Hj Abdullah

Saya cuba sedaya upaya mencari ciri-ciri intelektual ketika membaca dan meneliti ucapan Dr. Mahathir ketika beliau bercakap tentang orang Melayu dan Umno. Jika Dr. Mahathir bukan Presiden Umno, jika beliau bukan mantan Perdana Menteri, jika beliau bukan pahlawan Melayu dalam Umno, saya tentu sekali tidak hairan dan bersusah payah meneliti apa yang diucapkannya.

Bagi saya ucapan dan teguran Dr. Mahathir selepas beliau merajuk dan rujuk kembali dalam Umno sering menimbulkan tanda tanya; apakah betul Dr. Mahathir ini? Soalan lain yang sangat bosan hendak diterjah ialah, kenapa beliau bercakap macam beliau tak pernah wujud, macam beliau tak pernah jadi Umno, macam beliau tak pernah melakukan apa yang beliau kata?

Ketika merasmi satu NGO baru yang diterajui oleh Ibrahim Ali MP Pasir Mas Kelantan di PWTC pada 27hb Mac yang lalu, Dr. Mahathir mengulangi lagi seperti ucapan pekasam dan budu yang lalu. Umno,lemah kepimpinan, nasib Melayu yang tak terbela, ekonomi, pelajaran anak-anak Melayu dan lain-lain lagi, seolah-olah Melayu di waktu beliau menerajui Umno dan menjadi Perdana Menteri tidak wujud Melayu-Melayu seperti yang telah menjadi budu dan pekasam selama ini.

Saya ingin memetik jerkahan Mat Katib dan Hj Lawas dari hulu Hutan Melentang ketika menjerkah beruk panjat pokok kelapa. “Heee, ketika tuan menjadi orang nombor satu yang boleh mengubah wajah politik dan bangsa, Melayu naik ke langit ke?”

“Piiirrraahhh, sewaktu hangpa dulu pun, lebih teghookkk lagi!” kereyau orang Tanjong Tokong, tepi projek yang pernah ditinjauan Dr. Mahathir dulunya.

Mat Zaki dari Wang Tepus Kedah pula jerkah: “Dia cakap sekarang, dulu pun macam tu. Dia cakap tentang rasuah, apa dulu tak ada rasuah? Dia cakap tentang biasiswa Melayu, waktu dia dulu apa dah jadi tentang biasiswa. Dia cakap tentang nasib Melayu, selama 21 tahun jadi PM, apakah orang Melayu begitu maju? Pasal bahasa sampai sekarang pejuang bahasa sakit. Banyak lagi...bla...bla...bla...weekkkk!”

Saya bukanlah seorang yang perongos meletak kesimpulan terhadap ucapan dan kata-kata, saranan seorang pemimpin, bekas pemimpin yang idiologinya tidak sama seperti Dr. Mahathir. Tetapi setiap kali mengulang baca apabila beliau mengulang kata, saya rasa bukan masanya lagi dan bukan Dr. Mahathir yang sepatutnya bercakap begitu.

Kerana itu menjelang 27hb Mac 2010 apabila Ibrahim Ali menjemput Dr. Mahathir
merasmi PERKASA satu-satunya NGO hebat kononnya, awal-awal lagi saya mendapat maklumat dari kawan di PWTC yang mengatakan Mahathir hentam Ibrahim Ali.

Saya tersenyum.

Ketika saya sampai di PWTC hari tersebut, persidangan NGO PERKASA sudah selesai. Ramai yang saya temui, kalangan lelaki tua-tua menggunakan tongkat, berpakaian sampin, bertanjak dan songkok hitam.

Saya bertanya seorang kawan. Dia memberitahu itulah peserta NGO Ibrahim Ali, PERKASA. Saya terfikir, masakan semua bertongkat? Adakah tongkat itu lambang atau tongkat itu kerana sudah tua tak mampu lagi berjalan? Saya teringat bidalan dari hikayat; Yang buta datang berpimpin, yang tua datang bertongkat.

Kawan saya ketawa dan maki hamun saya; hang memang pelaq, katanya.

Saya melihat ucapan Dr. Mahathir bukan ucapan yang jujur sebaliknya ucapan menyindir kepada pemimpin Umno, dulu kini dan selamanya yang dia tidak sebulu, yang dia anggap budak hingus dalam kepimpinan.

“Wujudnya NGO Melayu yang memberi tumpuan masalah Melayu kerana terhakisnya kepercayaan mereka kepada Umno sebagai pelindung nasib mereka,” kata Dr. Mahathir.

Soalnya siapa? Tak akan ada orang Umno yang bukan dari kalangan orang yang kritis mahu mengatakan zaman Dr. Mahathir sebaliknya akan menganggap itulah Umno di bawah kepimpinan sebelum beliau dan selepas beliau.

Peranan beliau ketika tidak setuju dengan kepimpinan salah seorang Perdana Menteri yang lalu sudah cukup bukti untuk kita berkata begini.

Jika ini hendak dikatakan satu analisis ternyata analisa ini tidak berdasarkan kepada punca dan awalan. Salah satu alasan yang boleh kita katakan, ambil saja ketika peristiwa pemecatan dan penjara Anuar Ibrahim. Bagaimana keadaan politik waktu itu?

Tapi ternyata Dr. Mahathir mengambil kata-kata melindungi kata-kata. Meletak isu melindungi isu. Membongkar kelemahan untuk menutup kelemahan. Menginjak kecacatan untuk melindungi kecacatan.

Dengan membuat pengakuan ‘kecuali tahun 1969 dan 1987’ Dr. Mahathir seolah-olah juara kesempurnaan bangsa dan kemercuan negara. Tapi apakah benar semuanya itu?

Bijak pandai ada mengatakan, banyak bercakap memberi makna banyak melakukan silap. Dalam pemerintahan juga begitu, sedemikian lama menjadi pemimpin, memberi erti memanjangkan membuat kesilapan. Membuat kesilapan bukan bererti tidak sengaja dan saya tidak pernah terfikir apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir ketika pemerintahannya bukan satu kesilapan tetapi satu unjuran dengan maksud berbagai. Dan semua itu atas jenama Umno. Presiden parti adalah juga Perdana Menteri. Presiden Umno adalah pengerusi mesyuarat kabinet. Perdana Menteri semestinya memakai baju Umno ketika masuk ke balai rong seri untuk membuat keputusan.

Jangan fikir nanah dan usus hanya meroyak dan tersembol ketika Najib menjadi Perdana Menteri. Jangan fikir rasuah dengan indeknya hanya ketika Najib. Jangan fikir Rosmah memain peranan yang lebih dari Najib sedang Perdana Menteri lain berbini seperti itu jugalah.

Apakah nasib bangsa Melayu ketika itu begitu baik, kuat dan berjaya?

Kalau zaman Dr. Mahathir, Datok Azhar Mansor boleh keliling dunia dengan perahu layar, jangan ingat itulah saja wira dunia Mahathir. Bagaimana dengan pendaki solo gunung Kinabalu yang menghabis usia ulang aliknya puluhan kali?

Saya masih tidak menemui jawapan dan huraian yang tepat tentang peribahasa; Kalau guru kencing berdiri, murid kencing berlari. Bapa borek anak rintik. Tapi salahkah jika kita membuat huraian bodoh dari peribahasa ini dengan mengatakan, yang menyebabkan murid kencing berlari tidak bermakna perlakuan itu dalam masa yang sama. Mungkin si bapa kencing berdiri di tahun 1987, ketika itu anaknya baru merangkak. Tapi bukan mustahul tabiat itu dilakukan oleh anaknya pada tahun 1997, setelah anaknya sudah boleh berlari dan dewasa.

Begitu juga bapa borek anak rintik. Mungkin borek bapa ketika hujung usia dan rintik anaknya ketika anak itu sudah dewasa sedangkan si bapa sudah nyanyuk ketika itu.

Yang demikian kita tidak boleh mendabik dada apa saja kelemahan dan kecatatan, mundur maju orang Melayu tidak ada kaitan dengan sikap dan bobrok pemimpin sebelumnya.

Mendapat durian busuk dan buah macang yang berulat, bukan ketika si bapa menanam pokok itu tetapi tentulah setelah pokok itu besar dan buah itu dinikmati oleh anak-anak.

Satu trend pemimpin Umno yang kita lihat sejak zaman permulaan hingga kini ialah, mengakui dengan sesungguhnya bahawa ia adalah Perdana Menteri Malaysia untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Tapi malang ketika itu ia tidak meletak dirinya sebagai pemimpin Melayu, malah ia lupa bahawa dia dari akar umbi Melayu.

Tetapi ketika dia berhadapan dengan ahli partinya, dengan bangsanya sendiri ia terus terang mengatakan dia Melayu, perjuangannya perjuangan Melayu. Di tukarnya ketika itu dari tali leher dan boo kepada keris dan gong. Di tukar secepat kilat dari karpet kepada sampin dan kain kuning. Di tukar dari Apple Jus kepada air kelapa.

Apabila ia berada di atas pentas Perdana Menteri, ia tidak melihat bangsanya kerana dia tahu bangsanya bangsa bodoh dan tidak berani menderhaka. Dia akan ikut kehendak bangsa lain kerana hendak menjaga kedudukannya.

Inilah yang berlaku dan inilah diantara sebab munculnya ucapan-ucapan menyalahkan orang lain ketika ia tidak lagi berada ditempat itu.

Kerana itu ucapan perasmian Dr. Mahathir di perhimpunaqn NGO PERKASA pada 27hb Mac lalu di PWTC tidak ada apa yang membanggakan apa lagi kalau kita menjenguk kembali pada zamannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan