Menurut sumber daripada pegawai peringkat tertinggi kerajaan, Apco yang ditugaskan oleh kerajaan untuk mengendalikan strategi media antarabangsa tidak akan dilanjutkan kontrak tahunannya.
"Beliau (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) kurang senang dengan cara mereka menangani kontroversi yang melanda baru-baru ini dan kini menjadi liabiliti,” kata sumber itu lagi.
Menurut beliau, walaupun keputusan Najib untuk menamatkan khidmat Apco mungkin dilihat bagi mengurangkan tekanan terhadap kerajaan Barisan Nasional kerana firma antarabangsa itu didakwa ada kaitan dengan Israel, namun hakikatnya perdana menteri dikatakan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan mereka.
Adalah dipercayai Apco memulakan kerja-kerjanya untuk Najib seawal Jun tahun lalu meskipun kontrak ketika itu belum ditandatangani.
Najib dikatakan amat tidak berpuas hati dengan khidmat Apco khususnya berhubung persiapan mereka ketika beliau diwawancara olehAssociated Press semasa lawatannya ke Beijing, Jun lalu yang ditanya mengenai pembunuhan model dan penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Soalan yang dilontarkan tidak diduga sama sekali dan perdana menteri dikatakan tidak bersedia walaupun beliau mampu menanganinya dan berjaya berseloroh.
Malaysiakini juga difahamkan bahawa kehadiran Apco menyebabkan ketidak-selesaan di kalangan pakar-pakar media Najib.
Penasihat media perdana menteri, Datuk Jalaludin Bahaudin, seorang pengkritik vokal Apco secara peribadi, dikatakan tidak sehaluan dengan pandangan setiausaha akbar Najib, Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berhubung peranan Apco di Jabatan Perdana Menteri.
"Ini kerana Jalaludin berpendapat Apco tidak tahu apa yang sedang mereka lakukan,” kata sumber itu.
Tengku Sariffuddin tidak dapat dihubungi untuk komennnya manakala Jalaludin enggan membuat ulasan.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan