Harakahdaily
IPOH, 6 April: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak sekali lagi mengulangi cabaran kepada Pemuda Umno negeri untuk berdebat apa sahaja isu yang selama ini melanda negeri ini.
Timbalan ketuanya, Mohd Munir Ali berkata, Pemuda Umno Perak mesti berani menerima cabaran itu jika mereka jujur inginkan kestabilan negeri ini dan situasi pulih semula.
“Jika Pemuda Umno Perak menolak cabaran ini, memang benarlah bahawa mereka hanya berani di dalam tetapi takut berdepan dengan kuasa rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Beliau juga yakin rakyat akan menghukum mereka di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.
Pemuda PAS negeri juga, katanya menyokong penuh kenyataan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang menyifatkan pergerakan pemuda Umno negeri sebagai tidak gentleman ketika menghantar memorandum kepada Seri Paduka Sultan Perak supaya darjah kebesaran Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan Datuk Ngeh Koo Ham ditarik balik sebagai taktik politik murahan adalah amat tepat.
Beliau merasakan Pemuda Umno Perak sebagai penakut dan juga tidak matang di dalam memastikan imej Datuk Seri Nizar diburukkan.
Pihaknya turut yakin bahawa rakyat sudah pasti melihat Umno yang terlalu zalim kepada seluruh rakyat yang tidak menyokongnya.
Ini juga, katanya sebagai bukti bahawa Umno akan meneruskan lagi kezalimannya selagi berkuasa tidak mengira siapa musuh mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan