Sebat Kartika bukan Hudud, boleh dipinda - Harussani

Sultan Pahang berhak meringankan hukuman terhadap Kartika Sari Dewi Sukharnor kerana bekas model itu tidak dibicarakan mengikut hukum hudud “yang bersifat tetap dan tidak boleh dipinda”, kata Mufti Perak.

Harussani ZakariaTan Sri Harussani Zakaria (kanan) berkata, hukuman sebatan yang dijatuhkan terhadap Kartika sebelum ini bukanlah hukum hudud, sebaliknya hanya takzir yang tertakluk kepada pindaan oleh pemerintah.

“Hukuman hudud menetapkan 80 rotan (kepada pesalah yang meminum arak). Tetapi hukuman yang dijatuhkan terhadap Kartika tidak sampai kepada hukum hudud.

“Ia hanya takzir yang boleh diubah. Hukum hudud tidak boleh diubah sama sekali,” katanya.

Harussani diminta mengulas kenyataan Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang
dukacita terhadap perintah Sultan Pahang yang berkenan menggantikan hukuman sebat terhadap Kartika dengan kerja-kerja khidmat kemasyarakatan.

Menurut persatuan tersebut, perintah tersebut tidak mengambil kira hasrat Kartika yang mahu disebat secara syarie dan ia “dikhuatiri tidak mempunyai keabsahannya di sisi undang-undang”.

Ketika dihubungi
Malaysiakini hari ini Harussani berkata, menurut peruntukan takzir, pemerintah atau sultan mempunyai hak untuk mengubah peruntukan-peruntukan dalamnya.

Undang-undang kesalahan jenayah syariah terbahagi kepada tiga, iaitu hudud, qisas dan takzir.

Undang-undang mesti dijalankan dengan tegas

Peruntukan hudud melibatkan enam kesalahan iaitu murtad, minum arak, berzina, mencuri, merompak dan qazaf. Manakala qisas pula hukuman balas, seperti pembunuh akan dibunuh balas.

Kategori takzir pula kesalahan selain daripada hudud dan qisas yang mana hukumannya tertakluk kepada budi bicara pemerintah.

dr asri zainul abiddinSementara itu, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin (kiri) mempunyai pandangan yang berbeza apabila khuatir peringanan hukuman terhadap Kartika mengambarkan “seolah-olah kuasa raja mengatasi undang-undang”.

“Mungkin dalam kes Kartika ini (peringanan hukumannya) nampak positif. Tetapi esok-esok dikhuatiri boleh berlaku perkara lain pula.

“Kita bimbang nanti kerabat dan orang kenamaan yang melakukan kesalahn juga diampunkan,” katanya ketika dihubungi
Malaysiakini hari ini.

Dr Mohd Asri berkata, menurut pengalaman dalam sejarah Islam, pelaksaan sesuatu hukuman yang dijatuhkan mahkamah mesti dijalankan dengan tegas walaupun melibatkan sesiapa sahaja.

Katanya, terdapat satu kes pada zaman Rasullaah, seorang penzina daripada golongan bangsawan tidak diampunkan walaupun setelah merayu.

Tambahnya, penegasan terhadap keperluan melaksanakan hukuman tergambar dalam sabda Rasulullah: “Jika anakku Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku potong tangannya.”
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan