Ali Hashim
ALOR SETAR, 6 Mei: Status Kelab Penyokong PAS akan dinaikkan taraf kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) tidak lama lagi, kata Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa.
Menurutnya, tindakan menaikkan taraf kelab kepada dewan itu adalah ekoran sambutan yang begitu menggalakkan daripada masyarakat bukan Islam terhadap PAS.
"Selain daripada itu ia juga adalah bagi menembusi sokongan pengundi bukan Melayu dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang. Kelab ini juga telah diiktiraf sebagai entiti sayap seiring dengan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang sedia ada.
"Dengan pengiktirafan ini, maka ruang bagi bukan Islam yang menyokong perjuangan PAS untuk melibatkan diri mereka dalam aktiviti PAS atau sebagai aktivis adalah terbuka luas,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.
Sehingga ini, katanya keahlian kelab itu telah mencapai jumlah 20,000 orang.
“Daripada jumlah ini, 70 peratus adalah masyarakat keturunan India manakala 20 peratus lagi adalah masyarakat Cina dan 10 peratus adalah mewakili kaum-kaum lain," katanya.
Mujahid berkata, PAS mengiktiraf peranan dan sumbangan yang telah diberikan oleh masyarakat bukan Islam terutamanya dalam kempen pilihan raya yang telah diadakan sebelum ini.
"Ketika ini mereka adalah ahli dewan dan bukannya ahli PAS,” ujarnya.
Namun begitu, jelasnya keahlian mereka tetap mendapat pengiktirafan perlembagaan parti.
Sehubungan itu, tambahnya pada masa depan perkara itu akan dibincangkan sama ada perlu atau tidak untuk mereka menjadi ahli parti.
"Bagi peringkat awal ini, maka PAS Pusat akan melantik pimpinan dan ahli jawatankuasa DHPP sebelum ia diserahkan kepada ahli sendiri untuk membuat pemilihan kepimpinan mereka. Ia juga akan dipantau dari segi perjalanan, aktiviti dan program sebelum DHPP ini mampu bergerak sendiri," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan