Kelantan nafi jual ladang Yik

M Faqih
KOTA BHARU, 13 Mei:
Kerajaan Kelantan menafikan menerima sumbangan berjumlah RM3 juta daripada sebuah syarikat bagi urusan pembelian 3,000 hektar ladang milik sebuah agensi kerajaan negeri.

Anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah (gambar) berkata, dakwaan itu tidak berbangkit sama sekali memandangkan kerajaan negeri melalui Yayasan Islam Kelantan (Yik) tidak pernah menjual mana-mana ladang.

“Tidak pernah ada urusan untuk menjual mana-mana ladang di bawah Yik yang dibangunkan secara usahasama dengan syarikat swasta.

“Saya pun tidak tahu tiba-tiba ada dakwaan wujud orang tengah yang memberi sumbangan sehingga RM3 juta bagi urusan pembelian ladang. Siapa pula orang itu saya tidak kenal,” katanya di sini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian mendakwa sebuah syarikat memberi sumbangan RM3 juta bagi urusan pembelian 3,000 hektar ladang milik sebuah agensi kerajaan.

Menurutnya juga seorang wanita menjadi orang tengah bagi urusan pembelian ladang terbabit.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri berkata, Yik mengadakan kerjasama dengan beberapa syarikat bagi membangunkan ladang sejak lebih 10 tahun lalu.

“Ladang tersebut ada sebahagiannya telah mengeluarkan hasil. Kerjasama itu dilakukan secara joint venture (JV) di mana syarikat hanya bertanggungjawab membangunkan ladang.

”Manakala pemilikan ladang tersebut di bawah Yik. Dan setakat ini tidak ada ladang yang sudah dibangunkan tersebut mahu dijual pula kepada pihak lain,” katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini menganugerahkan tanah kepada agensi-agensi kerajaan termasuk Yik bagi dibangunkan untuk mendapatkan pulangan hasil.

Usaha itu dilakukan bagi mengurangkan bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri bagi mengurus sekolah-sekolah agama.

Ekoran itu beberapa syarikat swasta berminat melaksanakan JV dengan Yik bagi membangunkan tanah-tanah tersebut dengan tanaman kelapa sawit.

Ditanya Anuar mengugut mahu melaporkan kes tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Amar berkata, itu hak mereka.

”Kita akan menjawab isu-isu dibangkitkan kerana dakwaan yang diketengahkan mereka tidak ada asas,” katanya.

Sementara itu, Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim berkata, pemuda Umno Kelantan kini menjadi jaguh kerana sanggup melaporkan apa sahaja berkaitan kerajaan negeri kepada SPRM.

Katanya, biar pun sudah berpuluh laporan dibuat mereka, namun belum ada yang mampu dibawa ke muka pengadilan.

”Ini secara jelas menggambarkan Ketua Pemuda Umno Kelantan seorang yang suka kepada publisiti murahan sehingga berita kedai kopi pun direpot kepada SPRM.

”Mungkin hanya sekadar itu sahaja tugas yang mampu dipikul Anuar ketika mengetuai Umno Kelantan sekarang. Kalau sekadar itu kemampuannya Umno Kelantan tidak akan ke mana-mana,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan