KUALA LUMPUR, 13 Mei: Krisis Istana Kelantan yang berlarutan sejak setahun lalu dijangka bakal berakhir apabila panel perubatan 10 anggota mengemukakan laporan mereka dalam waktu terdekat, demikian kata seorang tokoh politik veteran Kelantan.
Difahamkan laporan akan selesai dalam waktu terdekat ini.
“MPN (Majlis Perajaan Negeri) juga perlu melihat kepada beberapa implikasi.
“Jadi, pada peringkat ini laporan panel perubatan terlebih dahulu akan menentukan tahap keupayaan baginda sebelum menjadi penentu dari segi undang-undang sama ada Sultan Kelantan masih berupaya memerintah ataupun sebaliknya,” kata bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Omar Mohamad.
Mengulas mengenai peranan dan kuasa MPN dalam usaha menangani kemelut semasa, Omar berkata, mana-mana perlembagaan tidak pernah menyediakan jalan singkat untuk menyelesaikan sesuatu isu demi keadilan dan kebaikan semua pihak. Panel 11 pakar perubatan yang dilantik kerajaan negeri telah memeriksa dan menilai Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra (gambar) minggu lalu dan dijangka menyediakan laporan mereka dalam waktu terdekat.
Panel itu memeriksa Sultan Ismail yang dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selama lima hari dengan kawalan ketat pasukan polis termasuk anggota dari Unit Tindakan Khas.
Rancangan untuk membawa Sultan Ismail ke Singapura untuk rawatan susulan terhalang dan kemudian dimasukkan ke HUSM pada 4 Mei lalu.
Bercakap kepada The Malaysian Insider, Omar berkata, rakyat tidak perlu gusar ataupun resah tentang berita-berita sensasi berkaitan dengan krisis Istana Kelantan sepertimana dilaporkan oleh media kebelakangan ini.
“Lebih baik mereka (rakyat) bawa bertenang, tak baik ia dijadikan bahan bualan di warung-warung kopi, tepi-tepi jalan atau sebagainya dengan membuat telahan atau andaian-andaian sendiri,” katanya. “Andaian-andaian sendiri, setengah kata begitu... setengah kata begini, semuanya itu bukan boleh menyelesaikan konflik yang ada,” demikian kata beliau.
Sehubungan itu, beliau meminta media tidak terus mengeksploitasikan isu istana sehingga menimbulkan pelbagai persepsi rakyat terhadap imej institusi kesultanan Kelantan.
“Seperti kita dengar lagu... lagu itu kalau kira bukannya sedap sangat, tapi oleh kerana tiap-tiap hari, setiap waktu radio mainkan lagu, akhirnya-akhirnya yang tidak sedap pun akan jadi sedap,” katanya.
Omar menyifatkan konflik yang sedang berkisar dalam institusi diraja Kelantan ini adalah konflik keluarga yang dikira lebih baik jika ia dapat diselesaikan secara kekeluargaan.
Selepas dimasukkan ke di Hospital Mount Elizabeth, putera sulong Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan berkuat kuasa 24 Mei 2009.
Mengulas lanjut status krisis semasa selepas baginda dibawa pulang ke Istana Mahkota 4 Mac lalu, Omar tidak menolak realiti semua pihak khususnya rakyat sendiri ingin tahu situasi sebenar baginda.
Bagaimanapun kata beliau, “ia bukan satu proses mudah, ada prosedurnya.”
Ahad lalu, Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata Sultan Kelantan dibawa pulang setelah lima hari menjalani rawatan susulan masalah jantung di HSUM dan setelah panel 10 pakar perubatan menjalankan pemeriksaan ke atas status kesihatan baginda. Sultan Kelantan dibawa ke HUSM atas pilihan Pemangku Raja Kelantan untuk baginda menjalani rawatan susulan pada 4 Mei lalu.
Kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan telah melantik panel 10 pakar perubatan untuk memeriksa tahap kesihatan Sultan Kelantan.
Sementara itu, seorang anggota kerabat diraja yang hanya ingin dikenali dengan panggilan Tengku Mansor mengakui, konflik yang sedang berlaku boleh menyebabkan tanggapan buruk rakyat terhadap institusi raja, sekali gus akan melemahkan institusi itu sendiri.
Justeru beliau berharap agar konflik tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh secepat mungkin mengikut prosedur bagi mengelakkan lebih banyak tanggapan buruk.
“Demi menjaga nama baik institusi diraja yang sangat dihormati, maka saya kira itu merupakan jalan terbaik, selesai segera mengikut undang-undang, rakyat sentiasa menyanjung tinggi institusi diraja Kelantan.
“Sekarang ini pun kalau kita turun ke bawah, kita boleh lihat reaksi rakyat yang amat mengasihi, hormat dan taat kepada Tuanku Sultan dan Pemangku Raja, tetapi yang menjadi bualan orang ramai ialah krisis itu... itulah yang menyebabkan pelbagai spekulasi terhadap istana,” katanya.
Beliau yang dilihat seolah-olah tidak berminat untuk bercakap berkenaan pergolakan membabitkan keluarga istana itu dalam nada yang sinis berpendapat konflik keluarga adalah lumrah kehidupan.
“Ia berlaku di mana-mana, tinggal lagi persepsi orang ramai, buruk yang dilihat... maka buruklah ia,” katanya.
“Cuba kita lihat apa jua senario hidup dari sudut kebaikan, mesti tak nampak punya buruk itu.
“Jadi dalam kes ini secara peribadi, bagi saya semua pihak perlu lihat kepada perlembagaan, ikut undang-undang... itu yang terlebih baik daripada berbual kosong di kedai-kedai kopi untuk mengeksploitasikan perkara-perkara yang kita sendiri tidak jelas,” katanya.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan