Pelantikan Ezam bakal hancurkan Umno

Ali Hashim
JERAI, 7 Mei:
Pelantikan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohamed Ezam Mohd Nor sebagai ahli Dewan Negara bukan sahaja menjadi keraguan dan kesangsian kepada kepimpinan Umno khususnya tetapi juga dianggap sebagai satu laluan ke arah kehancuran bagi Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar berkata, pelantikan Ezam itu telah berjaya mempamerkan sikap tidak setia kawan dan menghormati suara rakyat.

"Jika Ketua Pemuda Umno yang menang telah dikesampingkan, manakala yang kalah pula dilantik menganggotai kabinet dan kini Ezam yang dulunya melabelkan Umno dan BN itu sebagai perasuah besar serta penuh dengan penindasan dan kezaliman tiba-tiba dilantik sebagai Senator membuktikan parti itu semakin hampir dengan kehancuran.

"Umno dan BN sudah tidak mempunyai pemimpin yang berwibawa sehingga Datuk Seri Najib terpaksa membawa seorang yang tidak mempunyai jasa besar kepada partinya serta yang tidak mempunyai prinsip perjuangan yang kental dilantik sebagai Senator semata-mata untuk menentang kewibawaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya yang juga Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Pusat.

Tambahnya lagi, Umno dan BN hanya mengharapkan ahli Parlimen yang lompat parti dan mereka yang tidak mempunyai prinsip untuk berkokok bagi pihak mereka.

"Namun begitu rakyat jangan gusar dan bimbang kerana Ezam yang kita kenali sekarang ini bukannya yang kita kenali dahulu semasa berkokok tentang kejahatan, penyelewengan, korupsi dan ketidakadilan yang diamalkan oleh Umno dan BN.

"Ia juga tidak ubah sebagai seorang upahan untuk melaksanakan misi Najib bagi mematahkan kekuatan dan kekentalan yang ada pada Anwar sebagai seorang tokoh yang ternyata mempunyai karisma dalam perjuangan dan kepimpinan selama ini," ujarnya lagi.

Di
PERMATANG PAUH, Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Ghazali berkata, tindakan Najib melantik Ezam itu sebagai satu usaha bagi mempertahankan survival politik beliau bagi menentang kemaraan Anwar yang semakin terserlah.

Katanya, pelantikan itu bukan saja jelas membuktikan bahawa Najib telah memperlekehkan serta menyisihkan pemimpin Umno yang senior, sebaliknya ia juga telah memperlihatkan dengan jelas sikap Presiden Umno yang mahukan ahlinya patuh dan akur dengan apa saja tindakan beliau.

Ini juga, ujarnya membuktikan Najib memberikan tempat kepada pemimpin yang kecewa untuk mempertahankannya dari serangan yang sudah tidak mampu ditangkisnya lagi.

Tambahnya, tindakan itu merupakan salah satu strategi halus bagi mengenepikan sebahagian besar daripada kepimpinan Umno yang pro timbalannya bagi memperkukuhkan kedudukan beliau sebagai Presiden Umno dalam jangka masa yang akan datang.

"Namun begitu saya yakin mereka yang berada dalam Umno sendiri sudah dapat membezakan bentuk dan stail kepimpinan presiden mereka apabila dengan mudah menolak tokoh-tokoh Pemuda yang ada sehingga Ezam diberi tempat walaupun perjuangan beliau tidak sehebat mana.

“Kemungkinan juga ia hebat kepada Najib kerana isu rasuah dan korupsi yang sebelum ini dilaung-laungkan oleh Ezam sudah kelu dan kaku," katanya lagi.

Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain berkata, pelantikan itu menunjukkan betapa rapuh dan lemahnya kepimpinan Umno sehinggakan tiada seorang pun calon yang layak dilantik sebagai Senator walaupun telah memenangi kerusi dalam parti sendiri.

"Sekiranya tiada bantahan dalam kepimpinan Umno sendiri sudah jelas membuktikan bahawa ia adalah sebuah parti ‘pak turut' yang sentiasa mengikut apa saja keputusan pemimpin walaupun ia membelakangi kebenaran dan keadilan yang sepatutnya dilaksanakan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan