Habeas Corpus Sultan Kelantan, Kes Pertama Di Dunia

PUTRAJAYA, 7 MEI: Peguam yang mewakili Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra hari ini memfail writ habeas corpus bagi memohon kebenaran untuk membawa baginda keluar dari Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan - tempat baginda menerima rawatan sejak Selasa lepas.

Writ itu difail di Pejabat Pendaftar Mahkamah Khas di sini kira-kira 11.45 pagi menerusi tetuan J.S. Pillay & Mohd Haaziq.

Afidavit bagi menyokong writ itu dibuat oleh Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail, putera ketiga Sultan.

Sultan Kelantan dinamakan sebagai pemohon.

Writ itu menamakan lima responden iaitu Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Ketua Pengarah Kesihatan dan kerajaan Malaysia.

Peguam kanan, Datuk Param Cumaraswamy yang hadir bersama peguam Gobind Singh Deo dan Datuk Mohd Haaziq Pillay, berkata ini merupakan kes pertama di dunia apabila writ habeas corpus difail bagi memohon pembebasan seorang pemerintah negeri.

Mahkamah Khas ditubuhkan pada 1993 untuk mendengar sebarang prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah sesebuah negeri atas sifat peribadi baginda.

-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan