KOTA BARU, 29 Mei: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Pakatan Rakyat (PR) yang berusia dua tahun agar sekali lagi mengadakan himpunan Bersih untuk menjamin perjalanan pilihan raya yang adil.
“Saya juga mencadangkan kepada Pakatan Rakyat untuk merancang sekali lagi Himpunan Bersih dengan azam yang kuat menuntut pilihan raya yang bersih, adil dan telus,” kata beliau dalam ucapan dasar Kongres Nasional Keenam PKR di sini pagi ini.
Perhimpunan Bersih kali pertama telah digerakkan di ibu negara pada 10 Nov 2007 untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
Memarandum itu berkaitan dengan pendakwaan bahawa pilihan raya umum dikendalikan dengan tidak bersih dan menyebelahi kerajaan Barisan Nasional.
Ia telah dianjurkan oleh pertubuhan Bersih yang turut disertai pelbagai parti pembangkang dan badan bukan kerajaan untuk menuntut pilihan raya yang adil.
Dr Wan Azizah berkata reformasi sistem politik dan proses pilihan raya langsung tidak menunjukkan kemajuan.
“Seingat kita, rapat umum Bersih dalam tahun 2007 sudah mampu menghantar mesej jelas, tuntutan bagi mengadakan pilihan raya yang adil dan bebas, rupa-rupanya tidak.
“Kita perlu mengkaji langkah-langkah baru untuk mempercepatkan proses reformasi politik dan pilihan raya menjelang pilihan raya umum ke-13.
“Saya juga mencadangkan kepada Pakatan Rakyat untuk merancang sekali lagi Himpunan Bersih dengan azam yang kuat menuntut pilihan raya yang bersih, adil dan telus,” katanya.
Kata beliau, pengalaman semasa pilihan raya kecil selepas Mac 2008 menunjukkan SPR masih tidak berubah.
“SPR bukan sahaja tidak profesional dan berat sebelah, malah lebih teruk lagi apabila bersekongkol merancang penipuan.
“Pengendalian undi pos semakin dipertikaikan ketelusannya,” kata beliau sambil menyokong tindakan Datuk Zahid Ibrahim memfail petisyen mempertikaikan pilihan raya kecil Hulu Selangor bulan lalu.
Zaid bertanding di Hulu Selangor mewakili PKR-Pakatan Rakyat.
“Sehingga kini, integriti dan kesahihan daftar pengundi masih dipersoalkan. Kita bimbang jika kredibiliti SPR tidak dipulihkan, ia membawa kesan jangka panjang kepada keyakinan rakyat terhadap sistem pilihanraya di Malaysia,” katanya.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan