Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 27 Mei: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dinasihatkan agar tidak berlagak seperti 'manusia yang serba tahu' sebaliknya harus merujuk kepada semua pihak sebelum membuat sesuatu keputusan melibatkan kepentingan negara.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, Najib seharusnya berunding dengan semua pihak termasuk dengan Pakatan Rakyat sebelum menyerahkan tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar kepada satu syarikat milik bersama antara Malaysia dan Singapura.
"Datuk Najib sebagai Perdana Menteri tidak boleh berlagak seperti dia malaikat, dan tidak boleh berlagak dia seorang manusia yang serba tahu. Kerajaan sepatutnya merujuk kepada banyak pihak sebelum membuat keputusan penting ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, sebelum perjanjian dibuat dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Kerajaan seharusnya mewujudkan satu jawatankuasa khas parlimen yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik bagi membincangkan perkara ini.
"Sepatutnya kerajaan membuat perjanjian dengan Singapura, ia perlu dirunding dengan banyak pihak di Malaysia. Sepatutnya kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khas di parlimen yang meliputi pelbagai latar belakang politik untuk kita memberikan input yang baik kepada kerajaan," katanya lagi.
Tegasnya juga, PAS bersikap terbuka dengan sebarang tindakan yang bertujuan menyelesaikan perkara-perkara tertunggak di antara Malaysia dengan negara luar, namun ianya harus berpegang kepada prinsip menjaga kedaulatan negara.
Penyerahan tanah KTMB kepada syarikat usahasama itu ujarnya bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri sebelum ini.
"Kita perlu melihat secara menyeluruh penyelesaian yang dibuat oleh Perdana Menteri kita dengan Singapura. PAS berpendiran terbuka iaitu memang sesuatu penyelesaian itu perlu dibuat oleh kerajan dalam kes tertunggak tapi apa yang penting penyelesaian itu harus berpegang kepada prinsip mempertahankan kedaulatan negara kita.
"PAS sangat kecewa apabila kerajaan membuat satu penyelesaian kepada masalah yang berbangkit selama 20 tahun ini dengan tidak merujuk banyak pihak," tegasnya.
Justeru katanya, Najib harus membentangkan satu kertas putih di parlimen mengandungi penjelasan terperinci berhubung perjanjian yang telah dibuat dengan Singapura bagi membuktikan kejujuran mereka terhadap rakyat Malaysia.
"Perdana Menteri harus membentangkan kertas putih pada sidang parlimen nanti untuk memperlihatkan beliau jujur dalam hal penyelesaian berhubung Tanjung Pagar dengan Singapura. Jadi perlu dibentangkan secara terperinci apa penyelesian hasil perjanjian itu dan sebagainya.
"Kalau kerajaan tidak mahu membentangkan kertas putih bermakna kerajaan sebenarnya telah menjual kepentingan negara kita kepada singapura," tegasnya.
Beliau juga berkata, keputusan Najib itu sangat membimbangkan kerana sewaktu beliau menjadi anggota kabinet pada zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau bersetuju menyerahkan dua blok minyak kepada Brunei yang mendatangkan kerugian kepada Malaysia.
"Kita sangat ragu dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan seperti usaha Najib sendiri selaku anggota kabinet pada zaman Pak Lah bersetuju menyerahkan dua blok minyak kepada Brunei yang tidak pun menampakkan ada situasi menang-menang, malah merugikan Malaysia," katanya.
Kelmarin, Najib dan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong bersetuju untuk membangunkan tanah milik KTMB di Tanjung Pagar, dan memindahkan stesen keretapi itu ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.
Tanah milik KTMB di Tanjung Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga keping tanah tambahan di Bukit Timah, yang kesemuanya berjumlah 271 hektar akan diserahkan kepada syarikat usaha sama Malaysia-Singapura yang dikenali sebagai M-S Pte Ltd, yang akan ditubuhkan sebelum 31 Disember tahun ini.
Sebanyak 60 peratus kepentingan dalam Syarikat M-S Pte Ltd akan dipegang oleh Khazanah Nasional Berhad, sementara bakinya oleh Temasek Holdings Limited, cabang pelaburan kerajaan Singapura.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan