Kebebasan akhbar mesti diperjuang, bukan ehsan

Ahmad Lutfi Othman
Saya masih bercuti panjang sehingga hujung Julai ini. Kesan luka di kaki berikutan pembedahan pintasan jantung dua bulan lalu masih terasa. Berjalan pun kena bertongkat, tapi alhamdulillah semangat untuk menulis mulai muncul, apatah lagi apabila mendengar khabar duka bahawa permit penerbitan Harakah belum diperbaharui.

Resah saya memikirkan karenah tidak habis-habis oleh KDN yang diberi kuasa mutlak oleh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Akta ini diperketatkan oleh Dr Mahathir Mohamad sebanyak dua kali di zaman pemerintahannya, 1984 dan 1987. Akta ini dengan angkuh menafikan segala ruang untuk semakan kehakiman, sekali gus memberikan kuasa mutlak seluas langit dan bumi kepada Menteri Dalam Negeri untuk menggantung atau tidak memperbaharui mana-mana permit penerbitan.

Tidur saya kini kerap terganggu, bukan lagi disebabkan menahan sakit di dada atau perit di kakit, tetapi "sakit hati" dengan kesombongan regim Umno-BN. Di kala dunia berbicara soal proses pendemokrasian sejagat, Najib Razak memilih jalan lain, undur ke belakang dan akan diketawakan masyarakat antarabangsa. Ketika konsep langit terbuka dan jaringan maklumat dapat diakses dengan mudah dan cepat di mana saja, suasana kebebasan akhbar di Malaysia mundur semundur-mundurnya.

Melalui buku Strategi Membanteras Korupsi, Jeremy Pope dalam bab Masyarakat Sivil, menukilkan ungkapan Woodrow Wilson: "Kebebasan tidak pernah datang dari pemerintah. Kebebasan adalah hasil perjuangan penganut-penganutnya."

Saya cukup tertarik dengan kata-kata penuh makna ini. Kebebasan tidak akan datang menggolek, ia mesti diperjuangkan dengan segala kekuatan dan potensi yang ada pada kita. Pemerintah yang berasa selesa dengan pelbagai akta dan peraturan yang mengongkong akan terus menindas demi survival kuasa mereka. Soalnya, bagaimana dengan kita, apakah sekadar memerhati atau mengambil masa terlalu lama untuk bertindak menuntut hak yang terancam ini?

Bagi saya, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan cukup memperbodohkan kita. Selepas PAS bersama Barisan Alternatif mencapai kemenangan gemilang dalam pilihan raya umum 1999, tanpa sebarang sebab, tiga bulan selepas itu, permit penerbitan Harakah dikurangkan, daripada diterbitkan dua kali seminggu menjadi dua kali sebulan.

Sebelum itu, macam-macam peraturan baru, sama ada dari segi pengedaran, jualan dan juga kandungan Harakah dikuatkuasakan. Kebanyakannya bercanggah dengan logika dan rasional. Malah pengurusan Harakah terpaksa membazirkan bukan sedikit wang untuk menyediakan rak khas kepada peruncit, seperti diarahkan KDN.

Kini, KDN dengan peruntukan luarbiasa akta berkenaan sekali lagi datang menganggu. Permit Suara Keadilan tidak diperbaharui, manakala nasib Harakah hanya mengharapkan ehsan menteri. Dalam masa seminggu Harakah terpaksa menjawab dua surat tunjuk sebab. Dakwaan yang dikenakan adalah kitaran semula surat-surat lama KDN.

Banyak pihak mengharapkan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mengambil perhatian serius dan segera isu ini. Jika di negara maju lain, misalnya Britain, isu berkaitan sekatan penerbitan akhbar boleh menyebabkan kerajaannya tumbang, tetapi setakat ini di Malaysia keadaan seperti "tidak berlaku apa-apa".

Ramai menunggu apa langkah terbaik daripada pimpinan dua parti terbesar dalam negara ini, PAS dan KeADILan, apabila hayat organ parti masing-masing terancam .... Di peringkat pengamal media pula harus dicari jalan bagi mengungkapkan kembali isu kebebasan bersuara ini secara lebih kreatif agar mudah ditangkap imiginasi rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan