Semua pelajar yang dapat 9A+ dalam SPM layak otomatik dapat biasiswa kerajaan Malaysia pimpinan Umno. Kementerian Pelajaran ada berani ke siarkan dalam akhbar senarai semua pelajar dapat 9A+ dalam SPM 2009 ? Mari kita tengok ramai pelajar Melayu,
Cina atau India. Eloklah tarik semua hak istimewa pelajar Melayu ni. Biar Melayu cemerlang dalam Akademi Fantasia, Mentor, Showdown dan apa-apa bentuk hiburan.
*******************************************
PELAJAR 9A+ TAK DAPAT BIASISWA DIMINTA MAKLUM KEPADA JPA
Berita Harian 12 Julai 2010
AMPANG: Pelajar cemerlang yang mendapat 9A+ Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, tetapi tidak memperoleh biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), diminta memaklumkannya kepada JPA untuk ditawarkan biasiswa itu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan akan menunaikan dasar yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak, kelmarin bahawa semua pelajar terbabit ditawarkan biasiswa JPA mengikuti pengajian ijazah pertama di dalam dan luar negara tanpa mengira kaum.
“Kenyataan Perdana Menteri itu pasti menggembirakan semua pihak. Jika ada yang tertinggal walaupun sebahagian besar daripada senarai (penerima biasiswa JPA) sudah diumumkan, prinsip itu kita akan guna selaras keputusan Perdana Menteri,” katanya semalam. Sementara itu, di Labuan, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata lebih ramai pelajar cemerlang mendapat 9A+ dalam SPM tahun lalu akan ditawarkan biasiswa JPA berbanding diumumkan sebelum ini.
Beliau berkata, jumlah berkenaan melebihi 1,750 pelajar yang ditawarkan biasiswa JPA bagi mengikuti Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan 100 pelajar mengikuti Program Ijazah Dalam Negara (PIDN).
Pengumuman Datuk Seri Najib Razak mengenai kesediaan JPA menawarkan biasiswa berkenaan akan menyebabkan pelajar cemerlang yang ditawarkan biasiswa JPA tetapi tidak terpilih di bawah PILN, mengikuti pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan kampus cawangan terpilih bertambah berbanding 1,900 sebelum ini.
Beliau berkata, walaupun penawaran itu di bawah bidang kuasa JPA, Kementerian Pelajaran menjangka lebih ramai pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan itu akan ditawarkan biasiswa berkenaan.
Sehubungan itu, Mohd Puad mengingatkan ibu bapa pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera yang anak mereka mencapai kecemerlangan berkenaan tidak lagi mempersoalkan keikhlasan kerajaan mengagihkan biasiswa JPA.
"Tidak akan timbul lagi orang Cina atau India atau kaum lain bising kata anak mereka dapat keputusan baik 9A+ tetapi tidak ditawarkan biasiswa JPA," katanya.
Mengenai cadangan pemansuhan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Mohd Puad berkata, perbincangan meja bulat Kementerian Pelajaran pada 17 Julai ini akan meneliti aspek kononnya jika ia dilaksanakan, bakal menyebabkan syarikat penerbitan buku ulang kaji dan pengusaha tuisyen gulung tikar.
"Pendidikan bukan untuk dijadikan bahan perniagaan. Pendidikan adalah untuk membina minda dan membentuk insan. Janganlah kita jadikan pelajaran sebagai bahan untuk membuat keuntungan. Bagaimanapun, perbincangan meja bulat akan meneliti perkara ini," katanya.
-bharian-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan