Zeanaaima Mohd Yusof
Kes terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar dibatal berikutan wujud kemungkinan pengadu, Saiful Bukhari Azlan memiliki akses kepada dokumen siasatan dan keterangan saksi yang bertentangan dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).
Demikian hujah peguam utama Anwar, Karpal Singh yang memfail notis tuntutan untuk menggugurkan kes berkenaan berikutan hubungannya dengan seorang Timbalan Pendakwa raya, Farah Azlina Latif.
Sebelum ini, seorang peguam lagi Anwar, R Sivarasa juga menyatakan ia akan menjadi perbicaraan cacat jika ia diteruskan tanpa sebarang penjelasan jitu berkaitan pertikaian berkenaan.
Karpal memfail permohonan untuk menggugurkan kes berdasarkan hubungan Saiful dan Farah Azlina yang didedah blogger terkenal, Raja Petra Kamaruddin yang mengambarkan hubungan mereka sebagai romantis.
Kesahihan hubungan mereka bertambah kukuh apabila Peguam Negera, Tan Sri Gani Patail secara tiba-tiba menggugurkan Farah Azlina daripada senarai pasukan pendakwaan, tidak lama selepas artikel diterbitkan.
Gani Patail juga mengesahkan hubungan mereka apabila memberi alasan pengguguran Farah Azlina bertujuan mengelakkan kes berkenaan, terjejas.
Peguam utama Anwar, Karpal Singh berkata hubungan demikian tentu memberi impak negatif dalam perbicaraan sekali gus mendatangkan kecurigaan kepada pasukan pembelaan.
“Kami memfail satu notis usul untuk perintah pertuduhan terhadap Anwar digugur kerana ada keterangan Farah ada hubungan dengan Saiful.
"Ada kemungkinan besar Saiful ada pengettahuan mengenai apa yang ada dalam dokumen siasatan, kenyataan saksi-saksi lain, khasnya oleh Anwar. Itu satu kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
"Jika ada hubungan sulit, ini satu kesalahan syariah,” kata Karpal.
Jelas Karpal, Farah Azlina melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi manakala Saiful pula melanggar Seksyen 8(2) akta yang sama, jika benar mereka mempunyai hubungan tertentu.
“Ini prosedur biasa. DPP (Timbalan Pendakwa raya) sebahagian dari kumpulan pendakwa raya. Dan Saiful ada akses untuk mendapatkan keterangan kertas siasatan. Oleh itu, ia menjadi pertikaian. Itu jelas salah guna kuasa. Ini sesuatu yang mengejutkan, sesuatu yang serius,” katanya.
Karpal juga kesal kerana pasukan pembelaan gagal mendapat penjelasan daripada pasukan pendakwaan walaupun hal ini sudah dibangkitkan lebih awal.
“Ini bukan taktik delay (tangguh). Kita sudah hantar surat Jumaat lalu tapi tidak ada respon (jawapan balas). Ini serius. Bagaimana awak boleh kata ini taktik tangguh?" katanya.
Karpal berkata, keterangan pakar bedah am, Dr Mohd Razali Ibrahim tidak sepenting permohonan yang dibuat Karpal kerana ia bakal menentu hala tuju kes berkenaan.
“Kerana kami sudah buat permohonan. Maka ia perlu didengar dahulu. Jika hakim bersetuju, kes akan digugurkan. Itu bermakna tidak ada apa-apa dan tiada saksi di panggil,” katanya.
Anwar turut kesal kerana pasukan pembelaan tidak mendapat sebarang jawapan yang munasabah.
“Kita bagi notis pada Jumaat pada pendakwa untuk jawab. Sebab itu pagi tadi baru kita boleh buat afidavit berhubung hubungan Saiful dengan Farah,” katanya.
Hakim Mohd Zabidin Mohd Diah kemudian menangguhkan perbicaraan kes ini kepada 9 Ogos ini bagi mendengar permohonan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan