Salahguna kepala surat: Exco minta polis siasat

Kemelut kepimpinan DAP Selangor bertambah kusut apabila exco kerajaan negeri, Ronnie Liu hari ini, tampil membuat laporan polis bahawa kepala surat dan cop rasminya telah disalahgunakan.

NONELiu yang juga ADUN Pandamaran berkata beliau telah dinasihatkan oleh jawatankuasa disiplin supaya membuat laporan polis hari ini berhubung salahguna kepala suratnya, didakwa oleh ahli Majlis Perbandaran Klang, Tee Boon Hock.

"Cop rasmi dan kepala surat saya telah disalahgunakan. Saya tidak pasti jumlah surat yang dikeluarkan menggunakan kepala surat dan cop rasmi itu...Saya mahu polis segera siasat. Saya mempunyai tiga surat seumpama itu dengan saya sekarang,” kata Liu di ibu pejabat polis di Shah Alam.

Liu juga menafikan bahawa surat yang terdapat di surat-surat berkenaan ditandatanganinya.

“Ia bukan kepunyaan saya dan saya tidak tahu siapa yang menandatangani surat berkenaan,” katanya.

Kepala surat dan cop rasmi berkenaan sebelum ini dilapor digunakan oleh Tee untuk mengeluarkan surat sokongan kepada 15 syarikat bagi mendapatkan kontrak bernilai lebih RM1.04 juta.

Tee sejak itu telah dipecat oleh DAP apabila didapati satu daripada syarikat berkenaan ada kaitan dengan anak lelakinya.

Menurut Liu, beliau memutuskan untuk membuat laporan polis hari ini kerana Tee mendakwa beliau diarah mengeluarkan surat tersebut bagi pihak dirinya (Liu).

Liu enggan menyatakan penerima surat-surat tersebut dan hanya memberi jaminan bahawa beliau akan mendedah kandungannya jika polis membenarkannya.

Exco Selangor itu menjelaskan bahawa beliau dipanggil oleh jawatankuasa disiplin berikutan tuduhan Tee tersebut.

"Bagaimanapun, saya berhasrat untuk memberi kerjasama sepenuhnya," katanya.

Liu kini berada di jabatan siasatan jenayah komersial di Shah Alam untuk memberi kenyataan berhubung surat berkenaan.

-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan