Khalid harap kutipan zakat RM300 juta

Ismail Hashim
SHAH ALAM, 4 Ogos:
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berharap kutipan zakat bagi tahun 1431H meningkat sehingga RM300 juta ekoran keyakinan tinggi umat Islam terhadap institusi agama di Negeri Selangor khususnya.

Menurut beliau, kutipan zakat di negeri ini tahun lalu mencapai RM270 juta yang merupakan satu peningkatan besar dari segi angka berbanding dengan 20 tahun dahulu yang sangat sukar untuk dicapai meskipun hanya RM20 juta.

Abdul Khalid berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Pengurusan Masjid dan Penyampaian Moreh Kepada Masjid dan Surau Seluruh Selangor di Masjid Negeri, di sini, semalam.

Turut serta adalah Exco Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Khusrin Munawi, Orang-orang Besar Daerah, nazir dan pegawai masjid dan surau.

Khalid berkata, meskipun sistem pengurusan masjid dan surau di negeri ini mendapat perhatian dari pihak berkaitan di negeri-negeri lain di seluruh negara namun masih banyak lagi yang perlu diperbaiki.

“Kualiti pengurusan tempat-tempat ibadat di negeri ini memang meningkat dan diperhatikan oleh negeri-negeri lain tetapi Dr Hasan berkata, kita mesti tingkatkan lagi dan beliau inginkan satu perubahan ke arah lebih baik.

“Beliau memang mempunyai daya istiqamah yang tinggi kerana itu beliau belum lagi berpuas hati dengan pencapaian pengurusan masjid dan surau meskipun sudah dilihat terbaik setakat ini oleh negeri lain.

“Kita mesti menggunakan kaedah terus memperbaiki atau continuous improvement bagi membolehkan kita mencapai tahap pengurusan yang berpiawaian tinggi setanding dengan standard tertentu di peringkat antarabangsa,” tegasnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar juga mengumumkan setiap masjid mendapat sumbangan sebanyak RM1,000 dan surau pula RM400 yang hanya sedikit jika dibandingkan dengan kadar inflasi sekarang ini.

Meskipun jumlahnya sedikit, ujarnya, eloklah ia dijadikan sebagai perangsang kepada pegawai masjid untuk mengadakan program sepanjang bulan mulia nanti.

Beliau turut mengulas ucapan Khusrin sebelum itu yang menyatakan, hanya masjid dan surau yang mempunyai akaun bank sahaja yang diberikan sumbangan moreh kerana berlaku masalah wang tidak sampai ke tempat sewajarnya.

Menurut Abdul Khalid, adalah wajar selepas ini Datuk Dr Hasan menganjurkan program pengurusan kewangan yang boleh dibantu oleh Bank Islam di mana terus boleh membuka akaun untuk masjid dan surau yang belum berbuat demikian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan