Pementasan semula bangsawan Melayu, opera Cina 1987

Datuk Mahfuz Omar
Sejak 13 Mei 1969 pentas politik bangsawan Melayu dan opera bangsawan Cina menjadi daya tarikan untuk dipersembahkan di khlaayak. Peristiwa 13 Mei telah tersedia maklum akan latar belakang politik pada waktu itu.

Pementasan 1987 dipentaskan pada ketika keadaan politik Malaysia dilanda dengan krisis kepercayaan rakyat berbilang kaum terhadap parti-parti politik perkauman yang mewakili kaum masing-masing khususnya dua parti politik Melayu dan Cina iaitu Umno dan MCA.

Masyarakat Cina hilang kepercayaan terhadap parti dan pimpinan MCA yang dilihat gagal membela dan melindungi bangsa Cina. Sebaliknya pimpinan MCA dilihat membina kekayaan denasti kepimpinan mereka.

Begitu juga dengan parti dan pemimpin Umno yang dilihat mengamalkan kronisma dan nepotisma untuk memunggah dan mengumpul kekayaan suku sakat mereka.

Krisis dalam kepimpinan Umno nampak jelas menjejaskan kedudukan Umno sebagai parti tulang belakang BN ketika itu. Orang Melayu kususnya ahli Umno mula memperikaikan Umno dan pemimpinnya.

Bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan Melayu pada Umno dan Cina pada MCA maka dipentaskanlah pentas bangsawan dan opera politik perkauman untuk disandiwarakan di seluruh negara dengan pelakon utamanya Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Datuk Lee Kim Sai.

Dihunuskan keris bangsawan Melayu dan pedang opera Cina bergegak gumpita seluruh negara. Datuk Lee Kim Sai lantang memperlihatkan keberanian dia mempersoalkan hak Melayu. Umno pula berlagak seperti Hang Jebat pembela ketuanan Tuah.

Umno mencadangkan himpunan umat Melayu di Stadium Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur. Jelajah mereka seluruh negara berpesan pada Melayu jangan lupa bawa mancis api dan senjata tajam ke perhimpunan Melayu di Kuala Lumpur untuk bakar rumah Cina dan basahkan Kuala Lumpur dengan darah orang Cina.

Seluruh negara jadi tegang keluarlah ilmu kebal selendang merah di kalangan bangsa Melayu. Akhirnya polis mengumumkan perhimpunan tersebut tidak dibenarkan.

Maka, berlakulah Operasi Lalang ISA yang menahan pemimpin pembangkang dan NGO yang dikambinghitamkan dari tragedi ini. Pelakon watak utama sandiwara bangsawan Melayu dan Opera Cina, Datuk Seri Najib dan Datuk Lee Kim Sai diberi cuti ke Australia. Pemimpin pembangkang dan NGO diberi cuti rehat di Kem Kemunting.

Melayu pun terpanggilah kononnya untuk terus dalam keadaan apa pun mempertahankan Umno kerana dilihat Umno lah hero yang kacak dan berani dalam sandiwara bangsawan ini dan Cina terus dalam apa keadaan pun pertahankan MCA kerana dilihat MCA menjadi hero dan membawa watak yang berjaya kepada Opera Cina yang dipentaskan.

Kini, selepas 23 tahun sandiwara bangsawan Melayu dan Opera Cina dipentaskan dengan jayanya ,sekali lagi sedang dipentaskan semula dalam situasi politik yang sama.

Hanya yang berbeza ialah pelakon utamanya. Kalau dulu Datuk Seri Najib dan Datuk Lee Kim Sai, kini Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Apakah selepas ini ada operasi lalang 2?

Pemimpin pembangkang yang akan dikambing hitam, Umno BN akan terus berkuasa untuk meratah rakyat dan khazanah negara.

Kepada Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) diharap tidak melatah untuk masuk dalam perangkap politik murahan Umno BN yang menjijikan dan membusukkan.

Kepada rakyat pelbagai kaum adalah diingatkan jangan sampai kita menjadi kuda tunggangan Umno BN, kita dipukul untuk berlari laju untuk menang dalam perlumbaan. Bila menang, yang mendapat hadiahnya joki (Umno BN). Kuda tidak dapat apa-apa.

Joki tinggal di hotel mewah makan yang enak-enak, kuda yang kononnya menang tinggal di kandang makan rumput kering sahaja. Jika kalah, kuda ditembak mati (rakyat ditinggal pergi).

Datuk Mahfuz Omar,

Naib Presiden PAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan