Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Dewan Pemuda PAS Pusat akan melancarkan kempen sejuta tandatangan bagi membantah saman ekor di Bazar Ramadhan Keramat pada 23 Ogos ini bermula jam 5.00 petang.
Timbalan ketuanya, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, kempen tandatangan itu akan bergerak ke seluruh negara dan akan diserahkan kepada kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Kita dengar banyak rintihan rakyat tentang saman ekor hari ini, maka kita mengambil ketetapan untuk kumpul tandatangan bantah saman ekor dan kita akan serahkan jumlah seberapa banyak yang kita dapat dan kita juga akan gerakkan ke seluruh negara dan kita akan hantar kepada pihak yang berwajib," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, di sini, hari ini.
Menurutnya juga, kempen berkenaan bersifat membantu Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang dipengerusikan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar namun ianya lebih mensasarkan golongan muda.
"Dua perkara ini matlamatnya sama tapi dibuat oleh dua pihak. KASE di bawah PAS dan kempen ini inisiatif pemuda sendiri dan kami lebih fokus kepada orang muda kerana melibatkan banyak kenderaan khususnya motosikal yang dimiliki golongan muda," jelasnya.
Beliau juga yakin kempen berkenaan akan mendapat sokongan ramai terutamanya pada musim perayaan Aidilfitri ini memandangkan rakyat menggunakan kenderaan dan lebuh raya untuk pulang beraya ke kampung masing-masing.
Justeru, beliau menyeru semua pihak agar menurunkan tandatangan mereka sebagai tanda bantahan terhadap tindakan kerajaan yang disifatkan menganiayai rakyat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan