Bayi mati diserang monyet liar

Seorang bayi perempuan berusia empat hari mati diserang seekor monyet liar di rumahnya berhampiran Happy Garden, Rasah di Seremban, petang ini.

Bayi yang belum diberi nama itu cedera parah di kepala, telinga, leher dan muka akibat dicakar dan digigit haiwan itu pada 1.15 petang tadi.

Datuk bayi itu, A Valayutham, 75, berkata cucunya diserang ketika bayi itu berada di ruang tamu rumahnya.

Katanya sewaktu kejadian beliau berada di dapur manakala menantunya B Revathy, 28, iaitu ibu bayi itu berada dalam bilik air.

"Pada mulanya saya berada di ruang tamu bersama cucu saya itu. Saya kemudian ke dapur untuk minum, namun apabila menantu saya keluar dari bilik air dia dapati bayinya tiada dan terdapat kesan darah.

"Menantu saya cemas dan meluru keluar rumah dan mendapati cucu saya berada di luar rumah dengan kesan darah di kepala dan badan. Jiran saya kemudian kejarkan cucu saya ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban namun didapati cucu saya telah meninggal dunia," kata Valayutham.

Beliau berkata monyet liar itu dipercayai memasuki rumahnya melalui pintu depan sebelum ke ruang tamu dan menyerang cucunya.

Pegawai operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Khairuddin Mohamad berkata sebaik anggota bomba sampai di tempat kejadian, mereka dapati dua ekor monyet berada di atas pokok di kawasan belukar di situ.

"Kita kemudian menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara negeri untuk menghantar petugas ke kawasan kejadian untuk tindakan lanjut," katanya.

Anggota Perhilitan kemudian menembak mati seekor daripada monyet itu.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan