Tinjauan Bernama mendapatI sewa rumah meningkat berpuluh kali ganda sejak awal bulan ini kerana penduduk mahu mengambil keuntungan besar seperti yang berlaku pada pilihan raya kecil Manek Urai tahun lalu.
Seorang penduduk, Ismail Dollah, 43, berkata harga rumah sewa yang kebiasaannya RM200 sebulan kini meningkat kepada RM10,000 dan ada rumah banglo disewakan pada harga RM15,000 untuk tempoh pilihan raya kecil itu.
"Harga rumah naik setiap jam kerana kadarnya berubah mengikut siapa yang sanggup membayar harga yang mahal," katanya kepada Bernama di Gua Musang hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan bahawa penamaan calon ialah pada 26 Oktober dan pengundian pada 4 November.
Tinjauan juga mendapati kadar sewa hotel turut meningkat disebabkan permintaan yang tinggi.
Jika sebelum ini kadarnya RM150 sehari kini kadarnya ialah RM200 sehari.
Seorang peniaga, Norizan Ibrahim, 45, berkata pilihan raya kecil itu adalah peluang terbaik bagi penduduk mencari rezeki kerana terdapat ramai pengunjung luar.
Katanya walaupun sebelum ini terdapat banyak kedai makan di sekitar Gua Musang tetapi kemungkinan ia tidak mencukupi semasa kempen nanti disebabkan oleh kedatangan ramai pengunjung luar.
"Ini adalah peluang rezeki kepada kami," katanya.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan