KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis berpangkat ASP dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan denda RM45,000 selepas disabit dengan dua kesalahan rasuah di bawah Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor, 28 Oktober lepas.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam satu kenyataan di sini malam tadi berkata, ASP Aziz Abdul Latif didakwa memperoleh satu suapan bernilai RM4,000 daripada Tai Lok Uie, pada 16 Februari 2004 bagi pihak Lee Chuen Aun sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya, iaitu melepaskan dengan jaminan polis, Lee Chuen Aun yang dalam tahanan reman.
Menurut kenyataan itu bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing, pada 14 Februari 2004 didakwa memperoleh bagi dirinya satu suapan bernilai RM5,000 daripada Lee Chuen Aun sebagai dorongan bagi melepaskan dengan jaminan polis Lee Chuen Aun yang berada dalam tahanan polis.
"Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhi hukuman hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000, manakala bagi pertuduhan kedua, mahkamah turut menjatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM20,000,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya hukuman penjara bagi kedua-dua kesalahan berjalan serentak, dan mahkamah turut membenarkan penangguhan perlaksanaan hukuman terhadap tertuduh.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan