MALANG...anggota polis menurunkan mayat mangsa.
MELAKA: Sebaik bertukar kerja di sebuah kilang di negeri ini lebih dua minggu lalu sikap seorang remaja tiba-tiba berubah begitu ketara sekali hingga menimbulkan rasa pelik kepada ahli keluarganya.
Malah, dia juga kerap dilihat bersembang menggunakan telefon bimbit selain berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan seseorang dipercayai teman wanitanya setiap hari.
Kelmarin, selepas memperoleh gaji, dia memberitahu rakan mengenai rancangannya untuk bercuti cuti selama tiga hari bermula semalam untuk pergi ke kampung kekasihnya, seorang gadis Orang Asli di Gapam, Jasin.
Namun, keluarganya menerima berita mengejutkan pagi semalam apabila remaja terbabit ditemui mati apabila mayatnya ditemui tergantung pada sebatang pokok jambu di Lorong Taman Ayer Keroh Height (TAKH) 7, dekat sini.
Difahamkan, akibat masalah cinta, remaja terbabit, Deklies Anak Dely, 19, berketurunan Bidayuh dari Kampung Sebobok, Bau, Sarawak itu nekad menggantung dirinya.
Mayat mangsa yang memakai kemeja-T lengan panjang putih, berseluar jeans dan kasut hitam serta membawa sebuah beg kecil ditemui seorang wanita di taman terbabit yang keluar berjoging sebelum memberitahu kepada penduduk lain yang menghubungi polis.
Menurut seorang saudaranya hanya mahu dikenali sebagai Alice, 36, sebelum bekerja di negeri ini, mangsa pernah bekerja di Singapura dan di Kuala Lumpur selama beberapa bulan.
Katanya, selepas Tahun Baru Cina lalu, mangsa kembali semula bekerja di sebuah kilang aluminium di Bukit Beruang.
“Malam tadi (kelmarin) saya lihat dia kelihatan biasa saja ketika menonton televisyen. Kami sekeluarga langsung tidak tahu bila dia keluar dari rumah sebelum disedari ibu saudaranya.
“Saya terkejut apabila seorang jiran memberitahu mengenai penemuan mayat seorang lelaki dipercayai membunuh diri kira-kira jam 9 pagi sebelum bapa saudaranya pergi melihat sendiri untuk memastikan perkara itu,” katanya yang tinggal berjiran dengan mangsa.
Menurutnya, dia perasan perubahan sikap mangsa yang gemar bersendirian ketika berbual dengan telefon bimbit dan berbalas SMS dengan seseorang.
“Saya syak dia mungkin putus cinta hingga sanggup ambil tindakan begini. Sebabnya saya difahamkan dia ada beritahu rakan sekerja dia hendak bercuti tiga hari untuk pergi ke rumah teman wanitanya di perkampungan Orang Asli di Gapam.
“Sungguh tidak sangka dan kami sekeluarga amat sedih dengan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Saksi, Zali Md Yunus, 45, berkata dia dan seorang rakan bergegas ke tempat kejadian selepas mengetahui kejadian itu daripada seorang penduduk kira-kira jam 7.30 pagi.
“Pada mulanya saya diberitahu penemuan mayat seorang pelajar menggantung diri di sini kerana mangsa memakai baju berwarna putih dan keadaan di situ agak terlindung dengan pokok selain sering dijadikan tempat pelajar melepak .
“Namun, sebaik tiba saya terkejut melihat sekujur tubuh lelaki dalam keadaan tergantung,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, Balai Polis Ayer Keroh menerima maklumat awam kira-kira jam 8.20 pagi sebelum sepasukan polis tiba melakukan siasatan di tempat kejadian.
-hmetro-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan