Khutubah Jumaat Bersungut Sebaran Filem Lucah

Hj Subky Latif
KHUTBAH Jumaat Wilayah Persekutuan 08 April 2011 telah menyentuh wabak gejala tayangan filem lucah dalam usahanya membincangkan perkembangan isu semasa yang berlaku dalam masyarakat dan negara.

Subjek filem lucah yang dikhutbahkan adalah satu sentuhan secara umum, tidak khusus menyentuh filem lucah VIP yang menggemparkan negara sekarang.

Makmum tentunya tidak ngantuk dengan khutbah itu kerana ia adalah filem yang berputar di sekitar golongan VIP. Ia disebar beerterangan oleh kumpulan VIP, mengenai individu VIP dan sasaran sebaran asalnya juga di kalangan VIP.
Khutbah itu mengecam wabak penyebaran filem budaya kuning itu. Sekali pun ia adalah perkara haram dan haram dari segi agama Islamnya disentuh secara umum dan sambil lalu.

Wabak itu memang telah merayap lama dalam masyarakat secara senyap dan tidak seteruk wabak dadah dan mat rempit, jarang atau boleh dikatakan tidak menjadi berita gempar yang disensasikan. Jika tidak kerana filem terkutuk yang memfitnah Anwar Ibrahim itu, mungkin ia tidak menjadi tema khutbah Jumaat.

Apabila subjek itu disentuh, terbeliak semua mata jemaah dan masing-masing teringatkan filem milik kumpulan Datuk T.

Filem lucah yang banyak itu tersebar sulit tetapi filem lucah Datu T itu tersebar luas dan belum ada sesiapa ditahan kerana menonton dan menayangnya.

Orang surau bertanya saya adakah saya menontonnya kerana ia disebarkan melalui saluran internet tertentu. Ternyata lebai-lebai surau lebih maju dan mendahului saya mengikutinya.

Entah bagaimana saya tertengok secara sepintas lalu dan secepat kilat keratan filem itu di salah satu stesyen TV kita ketika TV itu menyentuh isu itu.

Kalau slot kilatnya boleh terlihat di TV, maka filem yang tidak diluluskan oleh lembaga penapis filem itu dihalal sebarkan. Ertinya filem lucah yang terlarang dan diharamkan selama ini telah masuk ke semua premis. Mungkin dewan solat di masjid dan surau saja ia tidak sampai.

Jika ia boleh ditayang di hotel istana Seri Carcosa, saya tidak fikir tembok Istana Negara cukup kalis dengan sampah itu. Dan dapat dibayangkan Seri Perdana yang didiami oleh Perdana Menteri dan suri Wanita Pertamanya ikut menjadi panggung eksklusif.

Jika Datuk Mursyidul Am kita yang membenci filem itu digesa menengoknya, tiada mustahil ada Sahibus Samahah menengok curi.

Apabila ada lebai yang termakan penzina jantan dalam filem lucak Datuk T itu adalah Anwar, maka saya ditanya boleh percaya atau tidak?

Sayang yang belum melihatnya adalah orang terakhir sebelum Datin Seri Wan Azizah Ismail untuk mempercayainya.

Dan apabila saya tertengok keratan kilat video itu di TV, ternampak belakang si jantan yang berdiri dan si betina yang baru berpakaian. Ada pun satu lembaga lagi melintas. Ranjangnya tidak berorang, mungkin maksiat itu baru selesai.

Tanggapan saya, ada tiga lembaga dalam bilik laknat itu. Satu belakang si jantan, satu lagi si betina dan satu lagi yang melintas.

Kalau jantan yang ditengok belakangnya itu adalah Anwar, maka bodohlah Anwar buat kerja itu disaksikan oleh orang ketiga. Babak zina yang disaksikan oleh orang lain di mana-mana lokasi ia dinamakan tiger show. Masakan orang secerdik Anwar boleh jadi pelakun tiger show! Kalau Anwar buat kerja itu, dia mesti lakukan sesulit-sulitnya. Kerja itu amat bahaya bagi imej dan maruah besar yang ada padanya. Empat puluh tahun dia bina imej mulia, masakan dia mahu musnahkan dengan menjadi penzina terbuka.

Pada saya Anwar tidak bodoh. Adakah semua percaya dia orang bodoh? Kalau Ketua Polis Negara boleh tunduk kepada pandangan pakar, maka tidak terfikirkah para pakar Anwar boleh jadi sebodoh itu. Lebih teruk dari bodoh Pak Pandir.

Dengan semua perkembangan atas video keparat itu, saranan khutbah jadi seperti tidak berkesan.

Khutbah menyarakan supaya semua menyokong usaha kerajaan membenteras tayangan dan sebaran filem lucah. Kerajaan dikatakan berhempas pulas membenteras gejala filem lucah.

Khutbah amat menyanjung tinggi usaha kerajaan membendung semua aspek memajukan filem lucah. Berterima kasihlah sekalian kepada kerajaan dan usaha kerajaan khususnya dalam perkara lucah itu.

Secara sambil lalu saja khutbah menyebutkan filem itu haram dan berdosa besar kepada Islam. Tetapi yang banyaknya ialah usaha kerajaan memerangi wabak itu secara bersungguh dan berterusan. Yang banyak jaga ialah tentang salahnya perbuatan itu dari segi undang-undang negara serta menyebutkan denda dan hukum atas kesalahan itu.

Tidak disebut dan tidak dianjurkan supaya sekalian umat Islam menentang gejala filem lucah itu mengikut kehendak Islam. Semua Tuan Mufti dan para khatib bahawa hukum zina pada Islam begitu dan begini. Tetapi tidak mufti dan khutbah menganjurkan supaya pelaksana hukuman dan kuat kuasa undang-undang dibuat mengikut yang ditentukan oleh Islam.

Bukan sekadar denda dan penjara yang ditentukan oleh khanun jenayah oleh sebuah kerajaan awam yang ada.

Khutbah itu betul-betul menanamkan rasa takut orang kepada peraturan dan undang-undang yang dibuat oleh kerajaan, tetapi menanamkan rasa gerun kepada undang-undang yang disediakan oleh Islam.

Takut pada kerajaan semasa belum dihukum dan sebelum mati. Seberat mana pun hukumnya berakhir setelah mati termasuklah hukum mati. Habislah takutnya apabila mati.

Tetapi takutkan hukum Allah sebukan sekadar sebelum mati tetapi selama-lamanya selepas mati. Hukuman menonton dan menayang filem lucah, seberat mana pun tidak seberat balasan hukum yang dikenakan oleh Islam selepas mati.

Tidak berakhir hukuman itu pada hari mati, tetapi yang lebih berat ialah hukuman selepas mati.

Khutbah saran jangan tengok filem lucah. Tetapi kumpulan Datuk T ajak orang ke Seri Carcosa tengok filem lucah. Yang dilarang ialah menayang dan menonton. Yang membuat filem lucah tidak ditangani.

Zaman dulu larangan kepada maksiat bukan sekadar apabila maksiat itu dilakukan. Justeru ada maksiat berpunca dari menyembah pokok besar, sekali pun pokok besar itu mengindahkan taman dan besar sumbangannya kepada alam sekitar, tetapi pembesar memerintahkan pokok besar itu ditebang sebagaik usaha mencegah maksiat itu dari sumbernya.

Orang besar yang berterang-terang mengatakan filem lucah yang memfitnah Anwar itu haram hanya Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pendikar Amin Mulia.

Ada wakil rakyat mendesak supaya ia ditayangkan di Dewan Rakyat supaya sekalian Yang Berhormat dalam melihatnya dan seterusnya membahasakannya.

Tan Sri Pendikar berkara, di sisi Islam filem lucah adalah haram, maka dia menolak menayangkannya. Tetapi Speaker berkuasa di Parlimen saja. Dia tidak berkuasa di luar Parlimen.

Yang berkuasa di luar Parlimen ialah polis. Dan polis saja yang dapat menghalangnya. Kalau Tan Sri Pendikar jadi Ketua Polis Negara, mungkin dia buat seperti yang dibuatnya di Parlimen.

Menjadikan filem lucah sebagai thema khutbah Jumaat adalah langkah yang betul, tetapi khutbah yang baru disampaikan itu memerlukan satu sambungan lagi supaya ia tepat dengan yang diperlukan oleh masyarakat zaman ini.

Bukan sekadar memuji kerajaan kerana adanya peruntukan pencegahannya tetapi sebagai medan penting bagi membincangkan masalah yang dihadapi oleh umat, ia mesti menyebutkan sama masalah dan kelemahan yang dihadapi oleh kerajaan sehingga pencegahan itu tidak dapat berjalan.

Sayang khutbah menyuruh jangan didedar dan ditayang filem lucah tetapi ada saluran sesawang menyalurkan video lucah paling meletup hingga seramai-ramai dapat melihat dan dapat dosa kerananya. Ia menjadikan khutbah itu tenggelam selepas solat itu selesai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan