Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 19 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) mendesak agar kerajaan menjelaskan sekolah maahad swasta manakah yang dikatakan sedang menjalani proses mengkaderkan anggota-anggota Jamaah islamiah (JI) dan siapakah sumber yang dikatakan "risikan anti keganasan" seperti yang disiarkan di muka hadapan Mingguan Malaysia hari ini.
Akhbar itu juga melaporkan, kononnya maahad itu sebagai transit merekrut rakyat tempatan sebelum menjalani latihan ketenteraan di kem Al-Qaeda dan MILF di Selatan Filina selain masih aktif sehingga hari ini menyebarkan fahaman Salafiah Jihadiah.
Maahad tersebut juga dikatakan menjadi tempat perlindungan Abu Bakar, Abdullah Sungkar, Mohd. Iqbal Abdul Rahman, Hambali dan 16 anggota kanan kumpulan Darul Islam dari Solo, Jawa Tengah melarikan diri ke Malaysia selepas pemerintahan Presiden Suharto.
Ketua DPP, Nasrudin Hassan berkata, apa yang merisaukan laporan akhbar itu terlalu samar bilamana sumber risikan itu tidak didedahkan dan sekolah maahad mana tidak disebut secara langsung.
Tambahnya, ini akan menimbulkan rasa takut dan tidak selesa dalam negara terutamanya ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah maahad.
“Apa yang meragukan lagi, tahanan-tahanan yang ditahan di bawah ISA atas tuduhan menganggotai Jamaah Islamiah (JI) dan rangkaian Al-Qaeda masih belum dibuktikan bersalah walaupun ada yang telah bertahun-tahun merengkok di dalam penjara. Kewujudan JI di Malaysia masih meragukan,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya betul wujud, pihaknya meminta didedahkan sekolah yang terlibat kerana Sekolah Agama Maahad diwujudkan bukan untuk mengkaderkan pengganas seperti yang digambarkan oleh akbar berkenaan, tetapi adalah untuk melahirkan ilmuan-ilmuan Islam yang faqih dalam bidang pengajian duniawi dan ukhrawi.
“Tindakan Utusan ini juga secara tidak langsung melabelkan Islam dengan keganasan dan kita tidak mahu kerajaan Malaysia mengikut telunjuk US yang mengaitkan Islam dengan keganasan, mereka-reka cerita JI dalam negara semata-mata untuk menyedapkan telinga US dan Israel.
“Jangan hanya kerana cerita yang sumbernya entah siapa maka sekolah-sekolah Maahad ini menjadi manjadi mangsa dan kesannya ibu bapa takut menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah maahad ini selain pandangan buruk umum kepada sekolah maahad,” ujarnya lag.
Telah terbukti, katanya sekolah-sekolah maahad ini walaupun tidak di bawah kelolaan kementerian pelajaran, mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik setanding dengan sekolah-sekolah kebangsaan malah lebih hebat lagi insan yang dilahirkan itu mempunyai akhlak yang baik.
Pemuda PAS juga, katanya tidak mahu ini menjadi suatu taktik kerajaan Umno BN untuk menghalalkan akta zalim ISA, seterunya menangkap penganjur-penganjur dan peserta-peserta Bersih 2.0 menjelang himpunan aman itu nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan