SPR Melakukan "Jenayah" Untuk Menangkan Umno-BN - Anwar


SHAH ALAM, 18 JUN: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa seluruh akar umbi parti itu untuk turun menyertai perhimpuan Bersih 2.0 bagi memastikan pilihanraya umum ke 13 tidak dicemari dengan penipuan dan penyelewengan seperti yang berlaku sebelumnya.

“Cuba andaikan pada PRU 2008, adakah pilihan raya di negara ini diadakan dengan bersih? Hakikatnya SPR telibat dalam penipuan, melakukan jenayah dan langgar prinsip perlembagaan persekutuan," kata Anwar kepada lebih 4,000 perwakilan yang hadir pada konvensyen sehari PKR di Shah Alam.

Menurut Anwar,  kalau kerajaan  benar-benar mengamalkan ketelusan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan tugas dengan jujur, Pakatan Rakyat sudah berada di Putrajaya pada tahun 2008.

Namun lantaran amalan pincang dan umpama dicucuk hidung oleh pemerintah, SPR hanya mahu memenangkan parti pemerintah dan meminggirkan suara rakyat, tegas Ketua Umum PKR itu.

Himpunan Bersih 2.0 akan diadakan pada 9 Julai ini untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan PRU 13 dikendalikan secara bersih dan adil dengan tumpuan khusus diberi kepada aspek-aspek seperti pembersihan daftar pengundi dan ketelusan undi pos .

Ratusan ribu orang, termasuk aktivis dan penyokong parti pembangkang dijangka menyertai perhimpunan  raksaksa itu.

Himpunan itu, seperti pada tahun 2007, bagaimanapun dibantah oleh Umno-BN kerana kononnya akan menggugat keselamatan negara dan menjejaskan pendapatkan penjaja dan pemandu teksi.

Anwar berkata amat penting untuk PKR memberi sokongan penuh kepada Bersih kerana Pakatan Rakyat hanya memerlukan tambahan  lima peratus  sokongan pengundi untuk gagasan itu menawan Putrajaya pada PRU 13.

Bercakap pada Konvensyen Pilihan Raya PKR yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Anwar menyatakan tidak mustahil Pakatan Rakyat sampai ke Putrajaya dengan ketekunan dan kerja kuat seluruh jentera parti di segenap peringkat.

" Kalau kita rebut peluang kali ini, kita hanya perlukan lima peratus sahaja. Dari tahun 1999 kita mula, sekarang kita hanya perlukan lima peratus sahaja lagi.

" Tidak perlu fikir,macam mana kalau Anwar ditahan. Ini kerja jahat mereka (Umno).  Jangan membazir waktu, fikir apa yang mereka rancang. Bagaimana kita nak menang? Saudara kerja,"kata Anwar dengan penuh semangat dan mendapat tepukan kira-kira 4,000 perwakilan.

Namun Anwar menegaskan sasaran lima peratus itu dengan sendirinya tidak akan bererti jika usaha tidak diambil untuk memastikan SPR mengendalikan pilihanraya secara telus dan bersih dari penipuan.

“Sebab itu bila Datuk Ambiga mahu adakan Bersih 2.0, ia menjadi tanggungjawab kita (untuk menjayakannya)," tegas beliau.

Namun ujarnya jika Perdana Menteri, Najib Razak sanggup memberi jaminan satu pilihan raya yang adil dan bersih, beliau sendiri akan memberitahu Ambiga supaya perhimpunan Bersih 2.0 dibatalkan.
 
Ambiga Srenevasan adalah  peguam dan aktivis yang menjadi penggerak utama Bersih 2.0 bersama pemimpin beberapa badan bukan kerajaan.   

Anwar menegaskan , rakyat tiada pilihan selain turun ke jalanan secara aman untuk memastikan amalan demokrasi dapat direalisasikan di negara ini.

Katanya  jika Pakatan Rakyat mahu mentadbir Malaysia, gagasan itu perlu meraih 55 peratus daripada undi bagi mengatasi kemungkinan penyelewengan dan taktik kotor SPR ketika proses pengiraan undi.

Sehingga hari ini, SPR masih  lagi dibelenggui dengan senarai daftar “pengundi hantu,”  sistem undi pos yang mencurigakan dan  pemindahan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain tanpa pengetahuan pengundi.

Badan itu juga dituduh menutup mata kepada sogokan wang secara terang-terangan kepada pengundi selain projek-projek segera yang dijanjikan Umno dengan menggunakan duit rakyat, untuk membeli undi.

Anwar menggesa  pemimpin PKR melipatgandakan usaha  turun pandang, berjumpa dengan pengundi  dan akar umbi demi memastikan sokongan mantap untuk parti.

" Tak guna kita ulang (dasar-dasar Buku Jingga), hebat sepertimana pun kita, ia tidak mungkin jamin kejayaan kita kalau kita tidak mampu tembusi penyokong kita,"kata Anwar kepada seluruh perwakilan yang terdiri daripada pelbagai kaum.

"Parti ini adalah parti yang lahir dari keringat,air mata dan darah. Mana ada parti yang dizalimi seperti ini.

" (Tapi kalau kita perintah), bezanya kita, kita akan buat perubahan,"janji Anwar lagi.
-tvsnews-

1 ulasan:

  1. bersihlah :-)








    'Lubuk Emas' Terengganu dikhianati - Generasi muda dan generasi baru Terengganu adalah generasi paling bodoh dan tolol jika BN terus berkuasa..
    >>>http://Facebook-1Malaysia.blogspot.com/<<<
    >>>http://Blog1Malaysia.blogspot.com/<<<

    BalasPadam