Kejayaan Bersih 2.0 Cetus Keraguan Arah Tuju Umno-BN

Wira Arjuna

KOMENTAR: Majmuk! Beleklah gambar-gambar dan video perhimpunan Bersih 2.0 pada Sabtu 9 Julai lalu dan anda akan pasti  disambar satu pemandangan yang membanggakan. Bahawasanya yang keluar di  jalan-jalan raya di pusat bandaraya Kuala  Lumpur ialah warga Malaysia dari berbilang kaum.


Ini satu hakikat. Baik pemimpin kerajaan, pemerhati politik dan pihak polis sendiri pasti tidak boleh menafikannya. Maka dengan sendiri terkulailah dakwaan bahawa kononnya Bersih 2.0 ini adalah agenda pihak tertentu yang mahu memperkudakan orang Melayu supaya bersengketa sesama sendiri.

Rakyat dari pelbagai peringkat umur dan tanpa mengenal sempadan bangsa keluar beramai-ramai menggunakan hak mereka di bawah Artikel 10 Perlembagaan Malaysia untuk berhimpun dan menyuarakan kekecewaan, kegelisahan dan aspirasi mereka terhadap sistem pilihanraya negara yang cacat dan curang. 

Tanpa niat untuk membuat hingar, heboh dan ceroboh terhadap hak orang lain, di bawah payung Bersih 2.0 mereka melaungkan pada dunia, ada yang tidak kena pada pihak pemerintah yang bermati-matian cuba menafikan hak asasi mereka itu walau berulang kali mereka isytiharkan untuk bersuara dengan aman.

Perihal niat mereka mahu berhimpun dengan aman dan tertib pada hari itu disahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Oleh kerana yakin perhimpunan Bersih 2.0 tidak akan memudaratkan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat, beliau dengan segala senang hati meninggalkan negara untuk temujanji dengan Pope di Vatican City. 

Sebagai seorang perdana menteri yang bertanggungjawab, sudah pasti Najib tidak akan mahu meninggalkan Malaysia jika beliau percaya keadaan darurat akan berlaku.

Tentu sebagai anak Tun Razak yang bertanggungjawab mengelakkan Malaysia hancur kerana peristiwa 13 Mei 1969, Najib akan bersama memantau dan memimpin supaya darurat tidak berlaku sekali lagi  di Malaysia.

Keyakinan Najib pada tujuan luhur Bersih 2.0 ini seharusnya dikongsi oleh semua menteri kabinetnya, terutama sepupunya Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Dalam Negeri.

Jika Hisham optimis seperti Najib tentu polis tidak perlu membazir gas pemedih mata dan melumpuhkan pergerakan trafik di sekitar Kuala lumpur. 

Cuma yang mencacatkan sedikit usaha Bersih 2.0 meraikan demokrasi yang subur ialah pasukan keselamatan yang kurang yakin dengan sikap optimis Najib dan bertindak seolah-olah Bersih 2.0 adalah musuh Negara. Itupun, umum tahu adalah kerana didorong oleh kegelabahan Hishamuddin yang kini terbukti seorang pesimis. 

Kemajmukan peserta Perhimpunan Bersih 2.0 adalah satu janji bahawasanya masa depan Malaysia adalah cerah. Ini kerana apa jua pertimbangannya, sekarang sudah nampak perimbangan yang sihat di antara pemimpin dan rakyat pelbagai kaum bagi mengemudi Malaysia ke arah yang lebih adil dan sejahtera dan bukan caragaya kepemimpinan negara yang cuba menghimpun kuasa di kalangan kroni Umno sahaja. 

Ini digambarkan oleh sikap Patriot (yang entah berdaftar atau tidak dengan Pendaftar Pertubuhan) yang cuba menyekat suara rakyat yang memilih menyertai inisiatif Bersih 2.0. 

Meskipun ditekan dan digertak serta difitnah sebagai anti-Islam pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga yang kini ditahan polis dengan yakin menyimpulkan bahawa matlamat Bersih telah berjaya menghasilkan beberapa perkara positif untuk Malaysia.

Pertama, katanya, ia telah meluapkan rasa tidak senang hati rakyat terhadap penggunaan kuasa yang semberono oleh kerajaan yang kelihatan agak ketinggalan zaman di segi pemikirannya.

Kedua, kata Ambiga lagi, Bersih 2.0 memperkukuh dalam diri rakyat keazaman untuk menghidupkan perimbangan dan kezuhudan dalam kerajaan.

Dan ketiga, rakyat kini dapat merasai dan menghayati bagaimana sebenarnya mereka mempunyai hak dan kuasa untuk membawa perubahan meskipun cuba digugat oleh polis.

Ini semua berlaku kerana pemikiran yang agak cetek di kalangan pemimpin seperti Hishamuddin. Dengan awal-awal lagi mengisytiharkan tindakan tegas dan keras untuk membenamkan usaha Bersih ini, Hisham telah menggalakkan dan mengghairahkan media arus perdana untuk memomokkan kempen Bersih 2.0 secara berlebihan.

Kedangkalan pemikiran ini apabila disebarkan tanpa tapisan dan perimbangan menafikan hakikat bahawa duniakini sudah terbuka luas di segi percambahan maklumat. 

Gertakan polis yang bukan sahaja diulang-ulang oleh media massa tetapi papan pengumuman trafik (ITIS) menimbulkan kejengkelan rakyat yang tahu mesej apa sebenarnya yang hendak dikhabarkan oleh Bersih 2.0 pada mereka.

Namun begitu segala keterbatasan pemikiran media arus perdana – Utusan, Berita Harian, The Star, The New Straits Times, Astro, TV3 dan kerabat mereka serta RTM – berjaya menggamit naluri ingin tahu rakyat kepada perjuangan Bersih 2.0 dan isu kecacatan sistem pilihanraya di Malaysia.

Dan, apabila dengan segala azam dan besar hati puluhan ribu rakyat berbilang kaum bermandi air bercampur kimia yang dipancut ke arah mereka oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU), perjuangan Bersih 2.0 menjadi lebih bening dan jelas di mata warga Malaysia! 

Apapun semua pihak haruslah bersyukur polis masih belum mengerahkan segala kudrat yang ada padanya untuk mengganyang gerakan Bersih 2.0. Jika PDRM secara melulu mengikut telunjuk pemikiran yang kurang matang, tentu respons rakyat  jelata akan lebih hebat daripada apa yang disaksikan pada 9 Julai.

Bersih 2.0 diisokong oleh Pakatan Rakyat, gabungan tiga parti politik utama di Malaysia. Ia adalah inisiatif 62 Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang mahu perbaikan berlaku pada sistem pilihanraya di Malaysia.

Namun selepas perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai kerajaan Umno-BN hari  ini perlu menjelaskan bukan sahaja pada rakyat Malaysia tetapi warga dunia yang cintakan keamanan dan demokrasi, mengapa hampir semua pemimpin Pakatan Rakyat ditahan? 

Apakah Umno-BN sudah tidak percaya pada sistem demokrasi dan cuba memadamkan semua bentuk perbezaan pendapat dan saingan politik dengan menggunakan kuasa polis? 

Rakyat Malaysia dan warga dunia juga ingin tahu apakah Umno-BN juga mahu beranjak daripada sistem Raja Berperlembagaan setelah membelakangi pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bahawa rakyat ada hak bersuara jika meyakini ada kepincangan dalam hidup bernegara? 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan