Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 19 Okt: PAS bimbang pengagihan bantuan RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan kurang RM3,000 seperti diumum Perdana Menteri dalam Bajet 2012, bersifat 'kronisme dan akan berlaku ketirisan'.
Bercakap sewaktu membahaskan Bajet 2012 di Dewan Rakyat hari ini, Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) berkata, sesuatu yang amat sukar bagi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan mereka yang benar-benar layak menerimanya.
Ia kerana LHDN tidak mempunyai rekod pendapatan isi rumah untuk rakyat yang tidak layak membayar cukai, dan pada masa yang sama sangat ramai yang layak menerima bayaran tersebut.
"Kalau 40 peratus dari rakyat Malaysia mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM1,500 sebulan, tentulah yang layak menerima bayaran RM500 ini seperti disebut dalam ucapan Perdana Menteri, adalah 53 peratus dari rakyat Malaysia, ini jumlah sangat besar.
"Jelas, pengagihan oleh LHDN ini akan menjadi satu mimpi ngeri kepada pegawai dan kakitangan LHDN," katanya yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.
Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2012 mengumumkan kerajaan akan memberikan bantuan RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.
Pembayaran itu akan dibuat bermula Januari 2012 yang akan dilaksanakan oleh LHDN sebagai agensi utama.
Agensi lain turut terlibat adalah Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Negara serta POS Malaysia.
LHDN juga difahamkan turut mengguna pakai sistem pangkalan data e-Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan maklumat rakyat yang benar-benar layak menerima bantuan terbabit.
Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata, Pakatan Rakyat akan memerhati mekanisma penyampaian bayaran tersebut dan akan memberitahu kepada rakyat jika ia mirip kepada kronisme dan berlaku penyelewengan.
"Yang Dipertua, lebih mudah untuk mengagihkan wang ini sekiranya ahli parlimen BN diberi wang cash, dibawa dalam guni dan pergi setiap kampung.
"Untuk setiap dua orang, seorang layak kerana 50 peratus rakyat layak dapat. Baru kita dapat namakan bajet Santa Claus," sindirnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan