Apa salah Shaari Sungip?

Firdaus Omar
Saari Sungip ni ialah Ketua Penerangan PAS Selangor. Atas kapasiti sebagai Ketua Penerangan (agaknyalah) dia ditanya tentang status calun-calun PAS di negeri Selangor. Jadi bila ditanya dia jawab. Bila ada yang bertanya tentang Hasan Ali, mungkin dia jawab keadaan semasa di Gombak dan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku. 

Bila keluar dalam Malaysiakini, ia agak disensasikan sedikit agar (agaknya) ada nilai berita. Itu memang kerja mana-mana media. Namun bila dibaca secara teliti, Saari sebenarnya memberikan jawapan yang betul... 

Dalam satu temubual melalui telefon, Ketua Penerangan PAS negeri, Saari Sungib berkata, cawangan di setiap kawasan akan mengemukakan nama tiga calon, yang akan dipertimbangkan oleh kepimpinan pusat parti. 

"Hasan menerima pencalonan, tetapi kurang daripada tiga individu yang lain. Ia tidak mencukupi, bukan tak dapat langsung," katanya. 

Oleh itu, di peringkat kepimpinan negeri, nama Hasan tidak ada dalam senarai calon, tetapi Saari berkata kepimpinan pusat boleh memasukkan namanya dalam senarai kemudian. 

Yang herannya besar sangat ke salah Shaari Sungip ni sehingga ini dijadikan modal paling utama sesetengah pihak untuk membela Hasan Ali? Malah Hasan Alipun hanya ada modal ini untuk berpolemik dan cuba mengaitkan isu ini sebagai kununnya ada konspirasi PAS Selangor nak mengenakan beliau. 

Pada sayalah, ada positifnya apa yang dilakukan oleh Shaari Sungip. Malah, mungkin ada hikmahnya. Paling tidakpun, beliau telah menyatakan apa yang dirasakan dan apa yang dimahukan oleh akar umbi. PAS mesti berhenti dari hanya sibuk menjaga hati pemimpin sahaja. PAS mesti jaga hati akar umbi sama. Kalau tidak, akhirnya penyakit Umno ini akan memusnahkan PAS sendiri. 

Penolakan ahli terhadap Hasan Ali bukan saja dibuat-buat. Tok Pa kata Hasan Ali sudah jarang-jarang hadir mesyuarat di peringkat pusat. Di peringkat negeri tidak datang terus. Malah katanya Hasan Ali sudah berjumpa tokoh-tokoh tertentu dalam parti untuk bersama-sama dengannya menentang parti. Dan ini saya nak bagi tau, bukan perkara baru. 

Masalah Hasan Ali (pada saya) bermula bila dia cuba nak kawinkan PAS dan Umno sebaik saja PRU12 berakhir. Ini fakta dan bukan direka-reka. Saya tak mahu menokok-tambah cerita dan tuan-tuan boleh semak balik di laman-laman web akan faktor sejarah ini yang tidak dinafikan oleh Hasan Ali sendiri. 

Apabila gerakan awal ini gagal, ia tidak berakhir di situ. Hasan Ali terus menjadi duri dalam daging PAS terutama di Selangor. 

Bukan satu rahsia Hasan Ali tidak sebulu dengan barisan exco Selangor. Bukan PKR dan DAP sahaja yang tak betul, rakan-rakan exco PAS yang lainpun serba tak kena. Cakap-cakap PKR dan DAP begitu begini bla bla bla ni, saya kerap dengar di berbagai peringkat kepimpinan yang sebulu dengan Hasan. Modalnya kalau kita menyanggah, kita tidak walak. 

Kemudian muncul isu SELCAT. Tiba-tiba Hasan Ali membela kakitangan kerajaan yang menjadi kuda kayu BN termasuk Khusrin. Bukan beliau tidak boleh menyuarakannya di dalam mesyuarat exco, beliau saja nak jadi hero. Dia nak jadi hero ok, tapi atas sifatnya sebagai Pesuruhjaya PAS masa itu beliau melakarkan PAS sebagai kera sumbang dalam Pakatan Rakyat. 

Tidak cukup dengan pelbagai isu di peringkat negeri, beliau kantoi bila pendedahan rahsia PAS kepada blogger-bloger upahan Umno yang dilakukan oleh beliau dan seorang lagi pemimpin kanan parti pada masa itu telah dirakamkan. 

Di sinilah sepatutnya PAS mengambil tindakan yang tegas terhadap beliau. Jawatankuasa disiplin yang ditugaskan untuk 'membicarakan' beliau telah sebaliknya mengambil tindakan terhadap pihak yang mengadu, YB Khalid Samad. Ini telah memberikan masej yang salah bukan sahaja kepada ahli di akar umbi tetapi juga kepada Hasan Ali. 

Inilah sebenarnya masalah PAS. Pihak-pihak yang terlibat di dalam membuat keputusan yang salah tersebut wajiblah bermuhasabah dan tidak hanya berlepas diri dan sekadar menasihatkan orang lain agar begitu dan begini. Ini merupakan satu pengajaran yang pahit yang perlu kita belajar dan ambil iktibar. 

Esok Jawatankuasa Politik PAS akan bermesyuarat. Hasan Ali telahpun mencurahkan isi hatinya selama ini yang bukan merupakan satu rahsia lagi kepada ahli di peringkat akar umbi kepada media perdana hari ini. Ia telahpun mendapat liputan utama di TV3 suku milik Umno. Esok akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian akan menjaja taik minyak Hasan Ali ke seluruh pelusuk negara. 

Malamnya pula TV3 suku akan menyiarkan satu lagi kisah yang akan dinukilkan oleh Hasan Ali dalam program Soal Jawab jam 11 malam. Sedutan klipnya sudahpun ditayangkan sejak beberapa hari yang lalu. 

Jangan pula kali ini Saari Sungip yang dikambing hitamkan untuk menyelamatkan Hasan Ali. Sama-sama kita tengok esok. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan