KESEORANGAN...Faridah yang ditinggalkan anaknya.
KUALA LUMPUR: Menitis air mata seorang ibu yang lumpuh apabila menyedari dirinya ditinggal terbiar oleh anak tunggalnya di sebuah hotel bajet di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, di sini, sejak empat hari lalu.
Dia kini dijaga kakitangan hotel berkenaan yang membantunya menguruskan diri termasuk mandi dan mengganti lampin pakai buang selepas anaknya gagal dikesan.
Warga emas itu mulanya tinggal bersendirian di kampungnya di Johor, tetapi sejak sebulan lalu anaknya yang masih bujang membawanya ke ibu kota.
Faridah Maulud, 66, yang keseorangan ditemui pekerja hotel dalam keadaan meniarap di lantai ketika memeriksa bilik disewa anaknya selepas lelaki berusia 27 tahun itu gagal menjelaskan bayaran empat hari hingga menimbul tanda tanya kepada pengurusan hotel.
Ketika ditemui Harian Metro semalam, warga emas itu kelihatan lemah dan tidak bermaya serta berkali-kali memaklumkan dia ingin ke rumah kebajikan kerana tidak mahu menyusahkan staf hotel yang membantunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan