Anis Nazri
KUALA LUMPUR, 9 Mac: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) hari ini mendedahkan sejumlah RM4 juta wang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diberikan kepada Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, berbanding RM1 juta yang dipohon yayasan tersebut.
Ketua DPPP Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad, mendedahkan pada 17 Sept 2010, pihak Yayasan Taqwa telah memohon peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi menampung sebahagian kos operasi dan aktiviti yayasan terbabit.
"Permohonan sejumlah wang itu bagi menampung sebahagian kos operasi dan program yayasan tersebut dari bulan September sehingga Disember 2010, bagaimanapun pada 13 Okt 2010, Mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal telah meluluskan sebanyak RM4 juta," dedah beliau ketika sidang media, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.
Kamaruzaman yang juga Pengerusi Task Force Zakat DPPP mempersoalkan mengapa wang yang diperuntukkan jumlahnya lebih besar berbanding yang dipohon yayasan tersebut.
"Kenapa yang dipohon RM1 juta, tetapi diberikan RM4 juta? Ke mana wang itu dibelanjakan? Kita mahu Yayasan Taqwa segera mendedahkan audit dalaman yayasan tersebut berhubung pendedahan ini," tegas beliau.
Tambah beliau, bagi menjaga kepentingan pembayar zakat dan kemaslahatan masyarakat, persoalan yang dibangkit DMPP ini perlu dijawab segera pihak terbabit iaitu Datuk Khir sendiri.
Katanya, pihaknya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya pihak yang terlibat tidak memberikan penjelasan yang memuaskan.
"Kita memberi tempoh seminggu bermula hari ini untuk mereka jawab. Jika tidak, kita akan membuat laporan polis dan ke SPRM," tegas beliau yang mengakui mempunyai beberapa bukti lain mengenai penyelewengan MAIWP.
Dalam pada itu, Kamaruzzaman turut menuntut agar yayasan itu ditutup bagi memastikan tidak berlakunya pembaziran kos yang tinggi, dan dalam masa sama menyerap kakitangan yayasan tersebut ke MAIWP bagi menjamin kebajikan mereka.
"Pandangan kami, tidak perlu Yayasan Taqwa diwujudkan kerana peranannya sama dengan Baitulmal. Kenapa perlu ditubuhkan dua badan yang berbeza untuk satu tugas yang sama? Adalah lebih baik kos pengurusan yang tinggi dapat diberikan kepada asnaf yang lebih memerlukan," tegas beliau lagi.
jamil khir ni gheti ke tak gheti agama???
BalasPadam