MASIH SIHAT... Puan yang berusia 116 tahun bersama anak, cucu dan cicitnya ketika program Jalinan Mesra Bersama Warga Emas yang diadakan di rumahnya.
KANGAR: Wanita tertua di Perlis, Puan Ahmad, berusia 116 tahun, yang menjanda sejak lebih 30 tahun lalu, masih menyimpan hasrat untuk bertemu jodoh dengan lelaki yang mampu menjaganya sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Pilihan kali ini biar di kalangan lelaki yang mampu menjaga tok. Tok tidak mahu lelaki yang laih (sudah tidak larat) seperti sebelum ini yang semuanya terlebih dulu meninggalkan tok buat selama-lamanya.
“Bagaimanapun, semuanya ketentuan Allah kerana ia membabitkan jodoh... jika hampa (pemberita) tanya sama ada tok nak kahwin lagi untuk kali ketujuh... memang tok teringin nak kahwin.
“Tok tak malu nak sembunyi hasrat untuk berkahwin yang mungkin kali terakhir jika bertemu jodoh sesuai. Ciri-ciri pilihan suami kali ini biarlah lebih bertenaga daripada tok,” katanya yang mampu mendengar dengan jelas dan mempunyai penglihatan yang baik ketika ditemui di rumahnya di Padang Keria, Sanglang, dekat sini, semalam.
Terdahulu, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia (PKSM) menganjurkan Majlis Kenduri Rakyat serta program Jalinan Mesra Bersama Warga Emas di rumah Puan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan isteri, Datin Seri Asiah Asmuni hadir menyampaikan sumbangan terbabit. Puan turut menerima bantuan sara hidup berjumlah RM300 sebulan daripada JKM.
Hadir sama, Pengerusi PKSM, Datuk Mustika Junaidah Hussin serta anak kedua dan ketiga Puan, Teh Man, 65, dan Mat Yusop, 63.
Puan pernah berkahwin enam kali dan mempunyai empat anak selain 19 cucu dan 47 cicit. Bagaimanapun, semua enam suami yang dikahwini sudah lama meninggal dunia.
Mengulas lanjut, Puan berkata, dia hasrat memperoleh jodoh di kalangan lelaki lebih muda daripadanya bagi membantu melakukan kerja harian di rumah bagi mengelak bebanan terus kepada anak.
“Tok tak mahu terus membebankan anak kerana mereka juga ada tanggungjawab lain. Walaupun menetap bersama seorang anak di rumah ini, semua kerja harian tok lakukan sendiri.
“Anak tak bantah hasrat tok nak kahwin lagi jika bertemu jodoh,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan