Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Ketua Biro Keselamatan, Imigresen dan Reformasi Pilihan Raya KEADILAN Sabah, Dr Chong Eng Leong mendedahkan, terdapat 200,000 nama warga asing, hasil dari ‘Projek IC’ dalam senarai pemilih di Sabah dari jumlah keseluruhannya 950,000 pengundi berdaftar.
Menurutnya, penduduk Sabah telah bertambah kira-kira 700,000 (termasuk generasi kedua) hasil Projek IC dan sebahagiannya telah berdaftar sebagai pengundi sah, dengan kod IC ’71′.
“Kenapa memalsukan ‘Sijil Akuan untuk menyatakan tempat kelahiran di Sabah dengan kod tengah 12?
“Jika dokumentasi secara sahih, mengapa Kad Pengenalan baru mereka (diwujudkan) kod 71, bukankah bermakna mereka dilahirkan di luar Malaysia?
“Jika mereka dianugerahkan kewarganegaraan, bila dan di mana mereka mengangkat sumpah?” soalnya yang juga penulis buku Les We Forget mendedahkan skandal pemberian kewarganegaraan oleh kerajaan BN kepada pendatang asing.
Tambahnya, Dr Mahathir pernah dicabar oleh Lim Kit Siang pada 2006 untuk menafikan penglibatannya dalam Projek-M, ketika Ahli Parlimen Ipoh Timur itu menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
“Sampai hari ini, Dr Mahathir tidak menafikan, malah mempertahankan kenaikan mendadak penduduk Sabah dan pemberian kerakyatan kepada warga asing,” katanya ketika dihubungi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan