Nigel Aw
Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir menjelaskan bahawa "syaitan" yang dimaksudkannya dalam tulisan di blognya itu merujuk kepada kerajaan BN.
"Orang bertanya mengenai syaitan, tapi kita adalah syaitan yang orang kenal. Mereka adalah malaikat yang orang tidak kenal," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang media di majlis rumah terbukanya sempena Hari Raya hari ini.
Ditanya siapakah golongan yang dimaksudkan sebagai "malaikat" itu, Mahathir berkata beliau merujuk kepada pembangkang.
Jelasnya, "malaikat" itu bukanlah golongan yang suci kerana "Kadang-kadang, malaikat juga boleh buat banyak perkara salah," katanya.
Katanya, walaupun pembangkang mahu membuat perubahan, langkah itu tidak semestinya memberi kebaikan.
"Jika anda berubah kepada sesuatu yang lebih teruk, anda akan menyesalinya," kata Mahathir yang menambah, pembangkang akan terus berusaha untuk terus menang sekiranya berjaya membentuk kerajaan.
Beliau menjelaskan pepatah bahasa Inggeris "lebih baik syaitan yang anda kenal daripada malaikat yang anda tidak kenal" yang disebut dalam tulisan di blog chedet.cc pada hari Rabu lalu.
Tulisan itu menggesa pembacanya supaya tidak menyokong Anwar yang disifatkannya sama dengan presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
Obama, kata Mahathir banyak menjanjikan perubahan tanpa jaminan untuk menunaikannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan