Orang mati kat Pengerang kena tunggu sebulan lagi baru boleh tahu kat mana nak tanam?

Harakahdaily
JOHOR BAHRU: Penduduk Pengerang, Kota Tinggi di sini semalam memfaikan permohonan mendapatkan Perintah Certiorari bagi membolehkan semakan kehakiman dibuat terhadap keputusan kerajaan negeri yang mahu mengalihkan tapak perkuburan bukan Islam di situ.

Tindakan itu dibuat ekoran rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan kerajaan negeri itu yang disifatkan mengenepikan penduduk dan mementingkan pembangunan.

Kira-kira 40 penduduk semalam hadir di perkarangan bangunan Mahkamah Tinggi (Sivil) Johor Bahru bagi menunjukkan sokongan kepada panel peguam yang dilantik.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Mazlan Aliman ketika mengulas perkara itu berkata, tindakan penduduk Pengarang itu tidak boleh dilihat sebagai anti pembangunan.

Sebaliknya ujar beliau, ia adalah menifestasi rasa tidak puas hati penduduk terhadap jaminan masa depan tapak perkuburan sedia ada dan tapak perkuburan baru.

Menurut Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, ketika diadakan dialog bersama Pegawai Daerah Kota Tinggi dan UPEN pada 13 Ogos lalu, pihak yang berotoriti ini gagal memberikan jaminan tersebut.

"Yang menghairankan, dibuat pengumuman mana-mana kampung dalam lingkungan 22,500 ekar yang terlibat dengan pengambilan tanah, bila berlaku kematian, tidak dibenarkan lagi untuk di kebumikan di tanah perkuburan sedia ada.

"Bila ditanya nak dikebumikan di mana, jawapannya akan dimesyuaratkan dulu. Bila diasak bertubi-tubi oleh peserta dialog, akhirnya Pegawai Daerah dan Wakil UPEN minta tempoh sebulan untuk beri jawapan. Agaknya, kalau ada orang meninggal dunia (dalam tempoh itu), simpan dulu mayatnya," katanya.

Selain tanah perkuburan bukan Islam, difahamkan tanah perkuburan Islam juga akan turut dipindahkan ke suatu lokasi baharu yang sudah dikenal pasti.

Pengambilan tanah itu adalah bagi pembinaan projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak Dan Petrokimia (Rapid) yang bernilai RM60 bilion.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan