Wan Nor Fatihah menunjukkan pakaiannya yang terbakar baru-baru ini.
KOTA BHARU: Selepas kunjungan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ke rumah ‘gadis api’ di Kampung Penambang Bunga Emas kelmarin, remaja itu mendakwa dirinya pula diajak berlawan jin menggunakan parang yang dikatakan ingin berdampingan dengannya itu.
Wan Nurfatihah Wan Hanafi, 14, mendakwa mendengar bisikan halus itu ketika dia sedang bersiap-siap untuk membersihkan diri di rumahnya kira-kira jam 9 pagi, semalam.
“Saya takut bila mendengar bisikan itu betul-betul di telinga kiri saya. ‘Benda’ itu mengajak saya berlawan menggunakan parang. Sebelum ini, ‘dia’ pernah mengugut untuk membakar lebih banyak barang dalam rumah tetapi tidak pernah pula mengajak saya berlawan.
“Saya amat tertekan dengan situasi seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian selepas mendakwa menerima ancaman itu sebelum ketibaan kumpulan pengamal perubatan Islam dari Pusat Rawatan Islam At-Tobibi.
Cucu kepada keluarga Zainab Sulaiman itu, bukan sahaja berharap supaya gangguan ini dapat dihindari dari keluarganya kerana tidak tahan dengan tohmahan masyarakat, malah, dia terpaksa pula hidup dalam ketakutan apabila gangguan itu semakin serius sehingga mampu mengancam nyawanya.
Sementara itu, kunjungan selama dua jam yang diketuai oleh pengasas pusat rawatan berkenaan, Ustaz Shamsuri Shafie bersama 15 pembantunya mendapati keluarga tersebut tidak diganggu secara langsung oleh jin berkenaan tetapi hanya berlaku ke atas rumahnya.
“Selepas melakukan pemeriksaan ke atas badan pesakit, kami mendapati tiada sebarang gangguan yang dihadapi oleh keluarga itu.
"Bagaiman pun gangguan itu hanya berlaku pada rumah mereka sahaja sehingga ada barangan yang terbakar secara tiba-tiba.
“Pun begitu kami cuba sedaya mungkin untuk membantu memulihkan gangguan ini. Sebagai langkah pertama kami membacakan ayat-ayat suci al-Quran untuk dijadikan pendinding di rumah selain ‘memandikan’ seluruh ahli keluarga,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan