Nigel Aw
LAPORAN AUDIT Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam menerima teguran daripada Ketua Audit Negara kerana menyimpan perabot lama di dalam bilik kebal yang sepatutnya digunakan untuk menyimpan dokumen rahsia besar.
"Perenggan 58 Arahan Keselamatan antaranya menyatakan dokumen terperingkat Rahsia Besar merupakan dokumen yang perlu disimpan di dalam bilik kebal atau peti besi yang sepatutnya dipasang dengan kunci tatakira.
"Bagaimanapun, lawatan Audit ke Jabatan Pertahanan Awam
Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia mendapati bilik kebal yang disediakan tidak digunakan mengikut fungsi bilik berkenaan.
"Sebaliknya, bilik tersebut telah digunakan untuk menyimpan perabot lama, peralatan pembersihan dan bekalan pejabat seperti ditunjukkan dalam gambar berikut," laporan itu dipetik.
Dokumen itu menyebut, amalan itu dikesan berlaku di kompleks Kementerian Dalam Negeri yang baru siap dibina pada Mac lalu di Johor bagi mengumpulkan kesemua agensi kementerian tersebut di bawah satu bumbung.
Laporan itu menyebut, jumlah bilik kebal tidak mencukupi untuk kegunaan jabatan lain di kompleks kementerian tersebut, menyebabkan dokumen terkawal disimpan di stor utama.
Ia antara lainnya mendapati, stor utama pejabat Jabatan Pendaftaran Negara tidak sesuai kerana berada di laluan paip kumbahan, dan tidak dilengkapi kemudahan mencegah kebakaran.
Stor yang digunakan Jabatan Imigresen Malaysia pula, menurut laporan itu, hanya berdinding kaca tanpa dilengkapi jeriji besi.
Maklum balas kementerian itu kepada jabatan audit pada Jun lalu menyebut, bilik kebal berkenaan telahpun dibersihkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan