Tiga peserta dirasuk jin ketika Seminar Pembinaan Ketahanan Dalaman

IZWAN ROZLIN
Seorang peserta wanita yang dirasuki jin cuba berlawan dengan Pak Engku (kiri).
Seorang peserta wanita yang dirasuki jin cuba berlawan dengan Pak Engku (kiri).
AMPANG: Sesi kedua Seminar Pembinaan Ketahanan Dalaman anjuran Pengasas Rawatan Komplimentari Yashfien, Datuk Engku Ansaruddin Agus (Pak Engku) yang berlangsung di Kelab Darul Ehsan, semalam tergendala selama lebih kurang sejam apabila tiga peserta dipercayai dirasuk jin.

Kejadian itu berlaku apabila seorang remaja lelaki tiba-tiba bangun dan mencabar ahli panel untuk berlawan diikuti selang 10 minit kemudian seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an dan seorang wanita warga emas bangun turut memperkatakan hal sama.

Perkara aneh itu disaksikan lebih 100 peserta yang sedang mengikuti tajuk kedua program ‘Apa Itu Sihir’ bersama Imam Masjid Putra Perdana Puchong, Dr Abdullah Qurtubi.

Pak Engku ketika ditemui tidak terkejut dengan apa yang berlaku kerana perkara itu sudah diduganya sejak awal lagi.

“Perkara ini dilakukan oleh jin, jin sememangnya mahu menggagalkan seminar ini, jadi dia akan gunakan apa cara sekalipun untuk membuat tumpuan peserta dan ahli panel terganggu,” katanya yang sudah mengendalikan tiga siri seminar sebelum ini.

Menurutnya, peristiwa yang berlaku semalam adalah kali pertama sepanjang penganjuran seminar itu.

“Saya memang sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan seperti ini, ini semua kuasa ALLAH SWT, kita hanya berikhtiar untuk menyembuhkan sahaja,” katanya.

Beliau berkata, kesemua peserta dibacakan ayat suci al-Quran sebelum masing-masing beransur pulih.

Mengulas lanjut mengenai seminar diadakan, beliau berkata, ia lebih kepada aspek teknikal untuk menghalang sihir termasuk gangguan jin melalui kekuatan yang ada pada diri setiap orang.

“Setiap orang mempunyai kelebihan cuma ramai yang tidak tahu gunakan, jadi melalui seminar ini kita terangkan menerusi teori dan praktikal bagaimana tenaga dalaman yang kita ada ini boleh digunakan untuk mengelakkan diri daripada gangguan halus,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan