PRU13: Pakatan bernasib malang di Kedah?

Ahmad Lutfi Othman 
Semasa banyak pihak bercakap tentang kemungkinan besar Pakatan Rakyat dapat menguasai Putrajaya dalam PRU13, seorang veteran politik yang berpengalaman luas sejak 50 tahun lalu mengingatkan saya agar tidak terlalu "overconfident".

"Tak takut ke Lutfi?" tanyanya. "Takut apa pula?" balas saya, memang tidak dapat memahami maksud sebenar pertanyaannya.

Sebelum itu kami bersembang panjang tentang peluang, potensi dan cabaran Pakatan, khususnya PAS, berdepan dengan bermacam-macam taktik jahat Umno-BN. Jelas dia risau dengan persiapan pembangkang; baginya, masih longgar.

Kebetulan, jalur pemikirannya agak selari dengan tema yang selalu saya bangkitkan dalam tulisan, agar aktivis Pakatan lebih berhati-hati dan tidak "syok sendiri. AJK PAS Pusat, Khalid Samad semasa wacana buku "Detik Utopia" juga menyebut kekhuatiran saya terhadap kesepaduan dan kemantapan Pakatan, terutama di peringkat atas.

"Saya risau bila melihat ada rakan-rakan kita yang nampaknya bersikap terlalu yakin menang," jawab veteran politik itu. "Bagi saya, lebih elok kita menjangkakan situasi terburuk, worst scenario, dan dari situ kita merancang strategi bagi mengatasinya," tambahnya. Saya perhati ada kerutan di dahinya, petanda beliau serius dengan pandangannya.

"Benar, saya bersetuju," pintas saya. Bukankah selama ini banyak catatan saya menekankan agar pemimpin Pakatan dan aktivis oposisi tidak memandang rendah keupayaan pemimpin Umno untuk meraih kembali sokongan, khususnya melalui manipulasi 3M (media, wang dan jentera kerajaan)?

Memang banyak kaji selidik dan tinjauan di lapangan turut mengesahkan bahawa populariti BN dan Perdana Menteri Najib Razak sendiri semakin merosot, namun langkah berhati-hati dan berwaspada, serta mengurangkan seminimum mungkin kesilapan dan kesalahan -- walaupun kecil -- tidak boleh dipandang ringan.

Ini termasuk persepsi masyarakat terhadap persefahaman di antara parti-parti dalam Pakatan. Keyakinan dan kepercayaan rakyat pelbagai kaum terhadap barisan pemimpin peneraju perubahan tidak boleh disangsikan dengan beberapa "pertikaian" berterusan yang mereka saksikan melalui media.

"Malah ramai di antara kita turut meremehkan kekuatan pengaruh Utusan Malaysia dan TV3," saya cuba memancing pandangannya memandangkan beliau pernah menerajui media di bawah kawalan Umno.

"Ya, saya suka dengan istilah 'meremehkan' itu. Bahaya memandang rendah keupayaan lawan. Walaupun minda masyarakat sudah berubah, lebih progresif, serta makin ramai kelas menengah dan mudah akses dengan maklumat, tetapi masih terdapat mereka yang senang dipengaruhi, termasuk dengan hujah-hujah rasis yang tak masuk akal," tambahnya.

"Ada rakan saya, mempunyai kelulusan tinggi, profesional yang berjaya, tapi mengakui kepada saya baru-baru ini, dia akan menyokong BN dalam PRU13.

"Sdr tahu apa puncanya? Dia marah kerana kerajaan Pakatan di Pulai Pinang menindas orang Melayu. Jelas, dia termakan dengan dakyah Utusan dan TV3. Dia tidak pernah pun turun melihat sendiri keadaan di sana, dan saya rasa mungkin ramai lagi bertanggapan sepertinya." katanya sambil menjelaskan pertarungan merebut undi Melayu begitu kritikal sekali.

Dapat dikesan dengan jelas daripada intonasi suaranya bahawa veteran politik ini benar-benar mahu mengingatkan seluruh pendokong Pakatan agar segera "perketatkan apa yang longgar" dan "perkemaskan apa yang berserabut" serta tidak membiarkan salah faham masyarakat menganggu keputusan mereka semasa hari mengundi nanti.

"Bayangkan, ketika kita nampak overconfident menang Putrajaya dan menguasai banyak negeri-negeri lain, termasuk Johor dan Negeri Sembilan, tiba-tiba kita boleh kalah di Kedah," tegasnya dengan wajah serius.

Beliau menyebut Kedah kerana mengetahui saya berasal dari negeri Jelapang Padi itu. Malah veteran politik ini sendiri pernah aktif lama dalam politik di Kedah. Saya agak terkejut bagaimana dia boleh membuat kesimpulan atau jangkaan seperti itu.

(Apa pun, menurut seorang teman, bekas pemimpin belia, yang mempunyai hubungan rapat dengan Umno Kedah, isu-isu yang ditimbulkan untuk menjejaskan imej kerajaan negeri pimpinan Ustaz Azizan Abd Razak, sengaja diperbesarkan dan mudah disanggah. "Semua isu itu dapat dijawab dengan baik, cuma saya kurang jelas dengan sikap politik masyarakat Cina, adakah mereka terpengaruh dengan beberapa kontroversi, saya dengar mereka kurang puas hati," katanya).

"Ingat, kita pernah menang hanya sepenggal di Terengganu. Saya malu jika rekod itu diulangi di Kedah, ramai kenalan lama saya dari 'sebelah sana' tunggu untuk bersorak saja," katanya sambil ketawa. Meskipun gelaknya besar dan kedengaran menyenangkan sekali, tetapi saya kira beliau hanya mahu menutup rasa bimbangnya.


"Saya mahu melihat PAS menjadi parti teras dalam Pakatan dan menang besar dalam PRU13," sambungnya. "Tapi janganlah terlalu ghairah mengejar undi Melayu hinggakan sokongan sedia ada daripada bukan Melayu terlepas pula. Asas sokongan tradisi PAS mesti diperteguh, tetapi penyokong baru jangan dibiar kecewa."

"Masalahnya," kata saya, "PAS sekarang berdepan Umno selaku parti tunjang dalam BN, yang menguasai segala sumber kekuatan. Tidak mudah tugas ini. Berbeda dengan DAP yang menghadapi komponen BN paling lemah."

"Sebab itu," pintasnya cepat, "persiapan PAS mesti juga luar biasa, termasuk mengemukakan calon-calon hebat dan berwibawa, bukan sahaja "winnable candidite" tapi selepas memang nanti mampu memberikan servis terbaik dan berketrampilan semasa berbahas dan berdebat dalam sidang Dun atau Parlimen."


Segera saya teringat cadangan seorang pembentang dalam program permukiman (retreat) Jabatan Pengarang Harakah Ahad lalu: "Selalunya kita buat post-mortem selepas pilihan raya, dengan mencari punca-punca kekalahan, tapi kaedah ini tidak banyak manfaatnya sebab selepas empat atau lima tahun, situasi sudah banyak berubah.

"Lebih praktikal jika letakkan posisi kita sekarang sebagai pihak yang bakal kalah dengan mengandaikan punca kekalahan dan berusaha mengelaknya atau mencari formula penyelesaian lain."

Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli, yang turut diundang, turut mengingatkan: "Nampak dari mood dan sambutan rakyat, kita seperti boleh menang tetapi saya bimbang jika kita boleh kalah disebabkan faktor-faktor teknikal. Oleh itu, saya cukup tertarik dengan inisiatif Bersih untuk merekrut puluhan ribu pemantau PRU13. Dalam waktu singkat, berupayakah kita menyediakan pemantau terlatih itu, dalam jumlah yang cukup besar?"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan