13 Mei: Ucapan Tunku menerusi RTM

Helen Ang

Pada 13 Mei setibanya perdana menteri di stesen RTM kira-kira pukul 10.30 malam, beliau terus berucap menerusi televisyen dengan mencelah di tengah-tengah sebuah rancangan kegemaran ramai.

Sila baca dengan teliti.

Teks ucapan Tunku Abdul Rahman (13 Mei 1969):
“Kejadian yang tidak diingini telah pun berlaku di Kuala Lumpur dan pasukan keselamatan telah pun mengawal dengan kuatnya di serata-rata tempat dan penjuru-penjuru jalan. Dengan keadaan yang demikian, saya terpaksa mengisytiharkan Darurat di Kuala Lumpur. Curfew pun telah dimulakan dan dijalankan. Dan saya telah memberikan kuasa mengisytiharkan darurat ataupun state emergency di serata-rata negeri lagi, sekiranya wajib berbuat demikian, kerana hendak menjaga keamanan negara dan nyawa dan harta benda dan dengan ini adalah menjadi tanggungjawab saya dan saya akan menjalankan dengan sekuat-kuatnya kuasa saya itu.

“Saya minta pertolongan semua pihak yang bertanggungjawab supaya bekerjasama dengan pegawai-pegawai keamanan untuk menolong menjaga keamanan di negara kita ini dan penduduk-penduduknya sekalian. Kejadian yang berlaku itu tidak ada sebab. Apa yang diperbuat oleh parti pembangkang pada semalam, kita tidak ingini dan saya pegang dan tuduh mereka telah memulakan kejadian yang jahat itu, kejadian yang khianat itu. Tetapi balas-membalas bukan boleh menimbulkan baiknya.

“Saya rasa sangat-sangat susah hati di atas apa yang telah berlaku kerana dua bulan lamanya saya berpusing di tempat-tempat memberi syarahan dan mengingatkan kepada sekalian penduduk-penduduk segala dakyah anti itu bangsa, anti itu bangsa boleh menimbulkan pergaduhan yang besar di antara bangsa-bangsa, penduduk-penduduk di negara kita ini. Oleh sebab negara ini ialah berbilang bangsa, saya rasa hal seumpama ini harus berlaku, hal pergaduhan yang seumpama ini harus berlaku dan sekarang ini telah pun berlaku, sungguhpun caranva sederhana.

“Semuanya yang bertanggungjawab kenalah menjalankan kepentingan mereka supava hal ini tidak merebak. Mahulah setiap tempat meletakkan jawatankuasa muhibah serata tempat-tempat itu boleh menjaga keselamatan dan perasaan baik waspada antara satu kaum dengan lain kaurn. Negara ini bergantung kepada tuan-tuan sekalian. Tolong masing-masing yang jujur dan ikhlas kepada saya yang menjaga negara ini supaya tidak berbangkit hal-hal yang berbahaya. Negara yang kita kasihi ini adalah kehendak pertolongan tuan-tuan sekalian. Saya doakan kepada ke hadrat Subhannahuwataallah. Selamatkanlah semua penduduk-penduduk sekalian!”
May 15
Muka depan The Straits Times (15 Mei 1969)

Kenangan Tunku Abdul Rahman

“Saya tidak dapat tidur pada malam itu kerana mengenangkan kejadian yang telah menimpa ibu kota dan negara kita yang aman ini. Saya telah berasa gelisah dan berjalan mundar-mandir serta menghabiskan masa saya di atas sejadah untuk berdoa kepada Allah SWT. Saya berdiri di beranda luar bilik tidur saya dan menghalakan pandangan saya ke bandar sambil memerhatikan api yang menjulang tinggi di beberapa kawasan berhampiran Kampung Baru dan di sebelah utara.

“Kuala Lumpur telah menjadi satu bandar yang terang dengan api kebakaran di sana sini dan dapat dilihat dengan jelas dari rumah saya yang terletak di atas bukit. Inilah satu pemandangan yang sangat menyedihkan dan saya tidak menyangka saya akan menyaksikan kejadian yang seperti itu semasa hayat saya. Api yang menjilat bangunan itu telah menghanguskan segala usaha-usaha saya dalam beberapa tahun yang lepas untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bahagia dan aman, dan juga menghancurkan impian saya hendak menjadi perdana menteri yang paling bahagia sekali di dunia ini.

“Ketika saya memerhatikan api yang menjulang tinggi, terbayang di mata saya kejadian dashyat yang sedang berlaku pada malam yang mengerikan itu, dan saya terkenang kepada peristiwa-peristiwa lepas yang menyebabkan timbulnya malapetaka itu. Pada masa itu juga saya sedar dan insaf bahawa jika hendak difahami sebab-sebab kenapa boleh tercetus peristiwa yang buruk itu, maka perlulah dikaji satu per satu kejadian-kejadian yang telah lepas.

“Pada hari itu saya menerima laporan mengenai perarakan Gerakan yang telah diadakan semalam. Mereka telah melemparkan kata-kata nista terhadap orang Melayu dan menyuruh orang Melayu pulang ke kampung-kampung dan desa kerana kapal layar (lambang Perikatan) telah ditenggelamkan. Kesemua hal ini terbayang dalam ingatan saya yang merupakan sebahagian daripada sebab-sebab berlakunya rusuhan itu.”

– Petikan buku ’13 Mei Sebelum dan Selepas’ (memoir Tunku Abdul Rahman, halaman 81)
Perarakan mayat Lim Soon Seng, 9 Mei 1969
Perarakan mayat Lim Soon Seng melalui perut ibukota
9 Mei 1969: Kata-kata yang tertera pada sepanduk (gambar atas) berbunyi “死 的 光 彩,生 的 伟 大” (kematian yang cerah ‘berwibawa’, kehidupan yang ‘gemilang’)

Lim Soon Seng, seorang sukarelawan pilihanraya yang mati dibunuh, telah mencetuskan kontroversi yang sama hebatnya dengan kematian Teoh Beng Hock zaman kita.

10 Mei 1969: Hari membuang undi.

Dalam pilihanraya umum 1969, MCA telah kalah teruk kepada DAP yang pertama kali bertanding PRU – parti itu didaftar pada 1966 – serta MCA langsung tewas di Pulau Pinang kepada Gerakan yang ditubuhkan Dr Lim Chong Eu setahun awal pada 1968.

12 Mei 1969: Perarakan sambutan kemenangan oleh pembangkang
DAP menyambut kemenangan PRU di jalanan
DAP menyambut kemenangan PRU di jalanan

Suasana kempen pilihanraya tegang
Tunku memperingatkan “jika hendak difahami sebab-sebab kenapa boleh tercetus peristiwa yang buruk itu, maka perlulah dikaji satu per satu kejadian-kejadian yang telah lepas”.

Peristiwa 血債血還 (hutang darah dibayar darah) tidak berlaku secara spontan dalam suatu ruang kosong (vacuum) ataupun tanpa apa-apa kesinambungan. Ia sebenarnya menyusuli “kejadian-kejadian yang telah lepas” — untuk meminjam cakap Tunku Abdul Rahman.

Contohnya, berlaku rusuhan kaum di Pulau Pinang pada bulan November 1967 di mana 4 orang terbunuh serta dikeluarkan perintah berkurung oleh pihak berkuasa.

Mengimbau suhu pilihanraya bersejarah itu, Tunku menyorot kembali keberlangsungan sebuah kempen yang sengit. Katanya:

“dua bulan lamanya saya berpusing di tempat-tempat memberi syarahan dan mengingatkan kepada sekalian penduduk-penduduk segala dakyah anti itu bangsa, anti itu bangsa boleh menimbulkan pergaduhan yang besar …”.

Kempen PRU tahun 1969 berbekalkan “dakyah anti itu bangsa, anti itu bangsa”.

Dalam kempen PRU tahun ini, di samping politik perkauman juga sekarang dicampur-adukkan unsur-unsur benci agama.
http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/buddhists-want-probe-into-chinese-ustazs-king-kong-remarks
Fanatik Kristian pun ada sekarang
Ridhuan Tee sudah berkali-kali mencemuh kaum minoriti serta agama-agama yang dianuti mereka.

Orang India dan agama Hindu beserta perayaan-perayaan untuk dewa-dewi seperti Thaipusam dihina bukan hanya oleh seorang pelampau agama Islam seperti Ridhuan sahaja.

Pelampau agama juga berwajahkan fanatik Kristian yang benci patung disembah (idolatry).

Mungkin disebabkan sesetengah orang Kristian yang duduk di kawasan perumahan mewah bandar adalah orang yang berada serta memiliki segulung kertas ijazah, maka mereka memandang rendah penganut agama-agama lain sebagai “low class”.

Cuba tanya kenapa si evangelis begitu beriya-iya mahu memurtadkan orang yang miskin serta yang kurang bersekolah? Kenapa mereka bergerak di kalangan gelandangan Melayu? Kenapa disasarkan penganut Hindu golongan kelas pekerja?

Tingkahlaku evangelis yang ‘born again’ ke dalam agama Kristian membayangkan mereka tidak menghormati asas-asas peradaban dan kepercayaan tamadun lain.

Contohnya dalam soal mahu kebas kalimah Allah serta evangelis mendakwa hal mencuri itu bukan menjadi isu (“non-issue”).

Orang Islam diwajib menunaikan 5 solat dan dalam setiap sembahyang pula diulangi ucapan syahadah yang mana kalimah Allah disebut dua kali. Justeru kalimah Allah tidak lekang dari bibir seseorang Muslim untuk sepanjang hari, sepanjang minggu dan sepanjang hayat.

Maka pastilah orang Islam amat sayangkan kalimah Allah serta memandang berat seandainya ia disalahgunakan.

Pendekatan golongan Kristian yang meremehkan hakmilik kalimah Allah tidak kurang perbuatan seorang pendakwah mualaf Shah Kirit yang pernah menghina amalan Hinduisme dan Ustaz Ann Wan Seng (PAS) yang menghina amalan Taoisme — screenshot atas, dia menggelar kepercayaan “King Kong” masyarakat Cina ibarat doa “kong kali kong”.

Bukan Ridhuan Tee seorang sahaja yang memperlekehkan Thaipusam. Malah kedengaran banyak rungutan dari golongan berusia kaum Cina dan kaum India bahawa evangelis Kristian tiada mempunyai rasa hormat bagi tradisi nenek-moyang keluarga mereka.

Mula-mulanya si evangelis ekstremis ini kurang ajar terhadap masyarakat Hindu dan Buddha yang lemah di negara.

Namun apabila mereka sudah berani tunjuk taring kepada masyarakat Islam yang kuat …

Tiada ulasan:

Catat Ulasan