SHAH ALAM: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin secara berseloroh berkata, "satu Malaysia" mahu menampar Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin ekoran perbuatannya yang "memalukan" negara.
Kata-kata itu lahir dari mulut menteri muda ini sebagai respon kepada Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP yang mahu menamparnya seperti buaya.
KJ sebelum itu menyifatkan perbuatan Ibrahim sesuatu yang menjatuhkan maruah dan mencalar imej negara.
"Dia sorang yang nak tampar saya...tapi saya rasa satu Malaysia nak tampar dia sebab malukan negara.
"Perbuatan dia syirik, khurafat...saya tak nak layan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui sebuah portal.
Baru-baru ini, KJ telah menyelar Ibrahim menerusi laman mikro Twitter miliknya.
KJ dalam Tweetnya menggesa pihak berwajib untuk menangkap dan menahan bomoh berkenaan.
Isnin lalu, Ibrahim muncul di tengah kesibukan Kuala Lumpur International Airport (KLIA) dan melakukan ritual menggunakan bubu mata pancing dan batang buluh.
Keesokan harinya Raja Bomoh berkenaan menggemparkan KLIA sekali lagi dengan menjalankan ritual menggunakan tikar, bakul mengkuang dan dua biji kelapa dalam misi mencari pesawat MH370 yang gagal dikesan sehingga kini.
Menurut Ibrahim, apa yang dilakukannya berniat baik untuk membantu kerajaan mengesan lokasi pesawat MH370.
Upacara ritual yang dijalankannya bersama dua lagi pengikutnya itu mendapat kritikan meluas di media-media sosial selain dijadikan parodi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan