Subky Latif
Sejak menjadi menteri besar Selangor pada 2008 Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menyerlahkan dirinya sebagai orang politik. Dia lebih dilihat sebagai seorang pentadbir yang mahu menjadikan Selangor sebagai sebuah syarikat besar.
Sejak itu, beberapa kali PKR mengadakan pilihan pimpinan, tidak pernah dia cuba untuk merebut jawatan penting yang bertaraf naib presiden ke atas. Malah kedudukan sebagai ketua PKR Selangor pun dilepaskan kepada orang lain.
Sebagai menteri besar dan orang politik dia hanya mendapat sokongan sederhana saja daripada partinya dan tidak pula dia berbuat sesuatu bagi mendapat sokongan padu kepadanya. Dia terbuka kepada kritik orang daripada partinya.
Jika dia tidak kalis kritikan partinya, maka apa pula yang diharapkan daripada musuh partinya – Umno dan BN – yang menjadi pembangkang di Selangor. Politik Umno mewujudkan pelbagai jenama NGO menceceh apa saja yang dibuat oleh kerajaan Selangor. Apa yang dihadapi Datuk Seri Nizar Jamaluddin selama menjadi menteri besar Perak, maka itulah yang Khalid hadapi.
Semua kebangkitan dan kecaman itu mati tiba-tiba di Perak apabila rampasan kuasa berlaku. Datuk Seri Najib Razak turun untuk memimpin Umno dan BN Selangor untuk menjadikan Khalid seperti Nizar. Tetapi politik Najib di Selangor disembelih oleh Khalid apabila Adun BN selepas PRU13 merosot daripada PRU 2008.
Gara-gara penyembelihan politik itu Najib meninggalkan Selangor sebagai panglima yang kalah.
Ikut tersembelih ialah panglima Najib di Selangor, Datuk Seri Noh Omar dilucutkan daripada Kabinet, terpaksa berpuas hati dijadikan pengganti Najib sepenuh masa sebagai ketua Umno Selangor. Paling teruk tersembelih ialah bekas Ahli Parlimen Sepang, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed sebagai setiausaha Umno Selangor yang selama lima tahun hari-hari membalun Khalid.
Dia bukan sekadar disembelih daripada kerusi Parlimennya bahkan tiada apa-apa lagi dalam Umno Selangor.
Dalam masa sebulan yang terakhir ini Khalid baru muncul sebagai orang politik susulan dua perkembangan besar di Selangor iaitu PRK Kajang dan MOU penstrukturan semula air di Selangor antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.
Penentangnya dalam PKR menyebut melalui PRK Kajang itu memungkin dia tidak menjadi menteri besar. Calonnya di Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disebut menjadi penggantinya. Dia tidak menunjukkan dia kecewa dan susah hati dengan desas-desus kedudukannya itu malah dia cuba menjadi pengarah PRK yang terbaik untuk memenangkan partinya di Kajang.
Dia cuba mengelakkan politik Anwar mati di Kajang, kerana jika Anwar mati di Kajang, maka politiknya di Selangor pun mati. Sebagai orang yang dikatakan akan digantikan selepas PRK itu dia tidak akan sabotaj Anwar seperti yang politik Umno lakukan terhadap pencabar dalam parti sendiri.
Masa itu jugalah dia menawarkan diri menjadi calon timbalan presiden PKR menjelang bulan puasa nanti. Dalam masa tidak banyak dikritik dulu dia tidak rebut jawatan penting parti. Masa dia dikritik kuat oleh rakan dalam partinya, baru dia hendak merebut jawatan kedua selepas Anwar yang pastinya akan jadi presiden parti nanti.
Masa kempen inilah dia mengejutkan semua orang dengan bersetuju menandatangani MOU tentang air di samping Langat 2 yang jadi panas sebelum ini. Dia mencapai persetujuan dengan kerajaan pusat dan memberi laluan kepada pembinaan loji yang terbengkalai sebelum ini.
Dengan perkembangan terbaru itu Khalid dibidas oleh pemimpin dan penyokong partinya tetapi dia dibela oleh semua orang Umno baik berjawatan atau tidak. Umno kata, isu air di Selangor selesai dan orang Selangor tidak akan mati dahaga selepas ini.
Kajang adalah tempat yang terdekat dengan tapak Langat 2 itu, pengundi Kajang tentu bersyukur dengan MOU itu, sepatutnya memberi undi kepada parti Khalid.
Politik Khalid ialah dia dikecam musuh ketika partinya mempertahankannya tetapi ketika partinya mengkritiknya, dia dibela oleh musuhnya, BN. Dia sudah jadi orang politik sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan