DR SYED AZMAN SYED AHMAD
Dr Syed Azman berbincang dengan Dr Mahmoud Zahar dalam satu pertemuan beberapa bulan dahulu.
KENAPAKAH Dr. Mahmoud Zahar, seorang pemimpin tertinggi Hamas di Gaza amat dikehendaki tentera rejim Zionis?
Sudah lebih sepuluh kali percubaan membunuh beliau dilakukan tentera Zionis. Sama ada hidup atau mati, tentera rejim Zionis sentiasa memburu beliau tanpa henti.
Orangnya tenang, sentiasa senyum dan fasih berbahasa Inggeris. Beginilah susuk peribadi orang yang paling dikehendaki di bumi Gaza apabila saya bertemu dengannya beberapa bulan lalu.
Tidak ramai yang mampu menghantar dua anaknya untuk syahid di bumi Gaza. Anak pertamanya Khalid Al-Zahar syahid di tangan rejim Zionis Israel akibat serangan tentera Zionis.
Putera kedua beliau, Houssam Al-Zahar syahid di tangan tentera Zionis Israel dua tahun lepas akibat serangan bom. Houssam yang baru berusia 22 tahun ialah komandan tentera Brigade al Qassam, sayap ketenteraan gerakan Hamas di Tebing Gaza.
Dr. Zahar serta para pemimpin Hamas tetap teguh memimpin rakyat Palestin. Walaupun mereka terus diburu dan diberi layanan lebih buruk dari binatang oleh rejim Zionis, mereka tetap tidak menyerah kalah.
Meskipun sekatan serta kepungan dilakukan tentera rejim Zionis Israel dengan bantuan rejim As Sisi di Mesir, mereka bersama rakyat di Gaza tetap bersabar menghadapi ujian besar ini.
Tindakan tentera rejim Zionis Israel yang tanpa henti menyerang penduduk awam di bumi Gaza sejak dua minggu ini memperlihatkan pelbagai kekejaman terhadap penduduknya.
Tentera Zionis dengan segala kelengkapan termasuk jet pejuang, kereta kebal serta helikopter Apache buatan Amerika membunuh anak kecil serta wanita yang tidak berdosa di Gaza. Tindakan ini telah melanggar segala batasan undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia serta telah melakukan suatu jenayah perang yang besar.
Tujuan utama rejim Zionis Israel menyerang Gaza pada kali ini adalah untuk menghancurkan seluruh infrastruktur serta seluruh persenjataan yang dimiliki oleh pergerakan Hamas; membunuh para pemimpin tertinggi Hamas; dan mewujudkan pemerintahan yang mesra rejim Zionis dan Amerika Syarikat di Gaza seperti yang mereka telah lakukan di Mesir dengan menyingkirkan Presiden Mohamed Morsi.
Apa yang lebih menyedihkan, semua badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Kesatuan Eropah (EU) dan Liga Arab, kesemuanya membisu seribu bahasa terhadap jenayah perang yang sedang dilakukan tentera Zionis ini.
Walaupun berhadapan dengan ujian yang amat berat dan besar ini, Dr. Mahmoud Zahar tetap menjadi harapan rakyat di Bumi Gaza. Berikut adalah antara intipati perbualan serta pesanan beliau untuk renungan kita bersama:
"Saya ingin memyampaikan tiga pesanan buat rakyat Malaysia; Pertama, hendaknya mereka terus mendukung perjuangan rakyat Palestin dan sentiasa mendoakan mereka walaupun jauh dari segi geografi.
"Hendaknya mereka terus menyakini bahawa kami tidak akan berundur walaupun setapak dari memperjuangkan hak kami di Palestin khususnya kami sebagai pemerintah yang dipilih oleh rakyat Palesin secara demokrasi dan bersih.
"Kami tidak akan berundur dari memperjuangkan hak kami untuk kembali, kami tidak akan berundur dalam mempertahankan tanah kami yang telah di rampas dan hak semua tahanan termasuk wanita dan kanak-kanak untuk dibebaskan dari penjara Zionis Israel.
"Ini adalah janji kami. Kerana itu teruskan dokongan, demonstrasi dan bantuan dana mahupun moral kepada kami di Palestin.
"Kedua, hendaknya berusaha keras menyampaikan berita dan maklumat kepada masyarakat umum terhadap masalah konflik Zionis Israel–Palestin. Ini boleh disampai melalui surat, media massa, perhimpunan dan pernyataan pendapat.
"Ingatlah bahawa isu ini bukan konflik antara Israel–Palestin semata-mata. Tapi ini adalah konflik perancangan Barat yang di dokong oleh Amerika Syarikat dan Zionis bagi menentang Islam dan gerakan Islam yang sedang bangkit.
"Atas dasar inilah kami amat mengharapkan seluruh rakyat Malaysia, parti-parti politik, NGO dan media massa berusaha menyampaikan maklumat sebenar tentang apa yang berlaku di bumi Gaza Palestin. Jenayah perang sedang dilakukan oleh tentera Zionis Israel dengan dokongan Amerika Syarikat dan sekutunya.
"Ketiga, hendaknya seluruh rakyat Malaysia dan setiap mereka yang ikhlas memahami bahawa Hamas tidak akan mengiktiraf rejim Zionis Isreal yang menjajah bumi kami, membunuh anak-anak serta ibu-ibu kami dan merampas kiblat yang pertama iaitu Masjid Al-Aqsa. Musuh kami adalah Zionis Israel yang akan kami perangi hingga titisan darah yang terakhir.
"Saya amat berterima kasih kepada PAS dan seluruh rakyat Malaysia yang telah membantu kami dan bantuan telah sampai kepada kami. Ini adalah sebahagian dari tuntutan dan kewajipan kita bersama bagi membantu saudara-saudara kita terutamanya yang sedang terkepung di Gaza sekarang ini."
Inilah pesanan yang disampaikan Dr Mahmoud Zahar kepada kita semua di Malaysia. Sama-samalah kita berdoa agar kejahatan Zionis Israel akan hancur jua dan saudara-saudara kita di bumi suci Gaza dilindungi Allah SWT. Insya Allah.
____________________
Dr. Syed Azman Syed Ahmad ialah Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan